MS sudah pasti kelemahan kem renang negara di Sukan Sea Vietnam (Gambar hiasan). FOTO Hazreen Mohamad
MS sudah pasti kelemahan kem renang negara di Sukan Sea Vietnam (Gambar hiasan). FOTO Hazreen Mohamad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MS) akan membariskan perenang muda berpotensi dalam usaha memulihkan kembali imej mereka yang tercalar berikutan prestasi kurang menyerlah di Sukan Sea Hanoi di Vietnam Mei lalu.

Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya sudah kenalpasti kelemahan yang melanda kem renang negara untuk diperbaiki segera supaya tampil lebih menyakinkan kelak.

Beliau berkata, beberapa perenang muda bakal diketengahkan pada temasya Sukan Sea Kemboja tahun depan sekali gus memberi persaingan kepada atlet senior supaya lebih berusaha jika terus mahu mewakili negara.

"Kita sudah kenalpasti kelemahan yang melanda kem negara dan mengakui agak kecewa apabila tidak mencapai sasaran pada penyertaan sukan Sea edisi lalu.

"Mungkin kita akan bawa perenang lebih muda dalam usia belasan tahun untuk mewakili negara sekali gus memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk menimba pengalaman di pentas antarabangsa," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, MS antara persatuan sukan yang ditegur selain Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) juga diberikan amaran oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memperbaiki prestasi mereka pada Sukan Sea Kemboja tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata dua sukan itu yang menawarkan jumlah pingat emas yang tinggi, adalah punca utama kontinjen Malaysia menamatkan Sukan Sea Hanoi pada Mei pada kedudukan keenam dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Lebih memburukkan lagi, kontinjen negara kehilangan 12 pingat emas, sembilan perak dan 24 gangsa yang dimenangi di Hanoi, selepas pihak penganjur Sukan Sea Kemboja mengurangkan acara dipertandingkan pada edisi yang akan berlangsung dari 5-17 Mei 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 3:55 PM