SHAHIDAN akui beri perhatian setiap teguran daripada MOM. FOTO Hairul Anuar Rahim
SHAHIDAN akui beri perhatian setiap teguran daripada MOM. FOTO Hairul Anuar Rahim
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 'berlapang dada' terhadap amaran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) supaya mereka memperbaiki prestasi pada penampilan di Sukan Sea Kemboja tahun hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, beliau mengakui prestasi barisan atlet olahraga negara pada temasya sukan Sea di Hanoi sememangnya kurang memuaskan berikutan persediaan terhad selepas mengharungi pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pengurusan baharu KOM yang mengambil alih persatuan dalam tempoh tiga bulan sudah merangka strategi untuk memastikan Malaysia menjadi kuasa besar olahraga pada temasya dwi tahunan itu.

Katanya, Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang berlangsung baru-baru ini juga menjadi platform terbaik KOM memilih atlet berbakat untuk dibawa ke temasya terbabit sekali gus menghadiahkan pingat emas buat negara.

"Kita beri perhatian setiap teguran daripada MOM dan sudah mengambil langkah susulan dengan memastikan olahraga menjadi antara penyumbang terbanyak pingat emas di temasya Sukan Sea.

"Walaupun KOM dalam ambang membentuk program pembangunan, namun sebenarnya kita sudah memantau bakat baharu yang boleh diketengahkan untuk mewakili negara.

"Selain itu, seperti sedia maklum, KOM juga tidak menghantar atlet untuk menyertai semua acara yang dipertandingkan di Sukan Sea Hanoi kerana kita hanya mensasarkan berpotensi memenangi pingat," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, KOM antara persatuan sukan yang ditegur selain Persekutuan Renang Malaysia (MS) juga diberikan amaran oleh MOM untuk memperbaiki prestasi mereka pada Sukan Sea Kemboja tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata dua sukan itu yang menawarkan jumlah pingat emas yang tinggi, adalah punca utama kontinjen Malaysia menamatkan Sukan Sea Hanoi pada Mei pada kedudukan keenam dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Lebih memburukkan lagi, kontinjen negara kehilangan 12 pingat emas, sembilan perak dan 24 gangsa yang dimenangi di Hanoi, selepas pihak penganjur Sukan Sea Kemboja mengurangkan acara dipertandingkan pada edisi yang akan berlangsung dari 5 hingga 17 Mei 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 1:55 PM