SETIAUSAHA Agung MS, Mae Chen. FOTO ARKIB NSTP
SETIAUSAHA Agung MS, Mae Chen. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persekutuan Renang Malaysia (MS) menerima secara positif teguran Majlis Olimpik Malaysia (MOM), untuk kedua-dua persatuan itu memperbaiki prestasi menjelang Sukan Sea 2023 di Kemboja.

Setiausaha Agung MS, Mae Chen berkata pihaknya sedang menjalankan perbincangan dengan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan, dalam usaha mencari penyelesaian terbaik.

"Ya, kami tidak nafikannya (prestasi tidak baik)… kelab dan negeri bangunkan perenang untuk Sukma (Sukan Malaysia) dan MS pula ke arah kecemerlangan peringkat dunia.

"Dua-dua haluan ini amat berbeza," katanya ketika dihubungi Bernama.

Apabila ditanya mengenai sasaran untuk Kemboja 2023, beliau berkata: "Kami tidak suka buat janji. Kami secara sendiri meningkatkan usaha dan kami sedang bekerjasama dengan Tan Sri (Mohamad Norza) sendiri dalam penyelesaiannya," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Mansahar Abdul Jalil berkata, pihaknya menerima teguran itu secara positif dan sedang berusaha keras untuk merealisasikan sasaran membawa pulang 10 emas dari Kemboja.

"Walaupun ia dilihat sebagai cabaran besar, kita menerimanya dengan positif. Kita sebenarnya sudah mengambil tindakan dan sedang bekerja lebih keras untuk membuktikan kita boleh mencapai pencapaian yang lebih baik pada kali ini.

"Kini kita kena pastikan perancangan yang dibuat dilaksanakan dengan baik untuk mencapai hala tuju mahu dicapai," katanya.

Sebelum ini, Norza menyatakan pencapaian kurang memuaskan kedua-dua sukan itu, antara sukan yang menawarkan pingat emas terbanyak di Sukan Sea dikatakan sebagai penyebab utama kontinjen Malaysia menamatkan cabaran di temasya Hanoi, Mei lalu, di kedudukan keenam keseluruhan dengan kutipan dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Di Hanoi, skuad olahraga hanya memperoleh lima emas, tiga perak dan lapan gangsa daripada keseluruhan 47 pingat emas yang ditawarkan, manakala renang hanya membawa pulang satu emas, empat perak dan dua gangsa dari 40 pingat emas ditawarkan.

Ia hanya 10.64 peratus dan 2.5 peratus daripada keseluruhan pingat ditawarkan, menyebabkan Jawatankuasa Pemilihan MOM memberi peringatan kepada kedua-dua persatuan itu untuk bertindak segera memperbaiki pencapaian di temasya Kemboja, yang dijadualkan bermula 5-16 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 8:54 PM