TAN Khai Xin (kanan) cipta rekod baharu untuk meraih pingat gangsa. FOTO Reuters
TAN Khai Xin (kanan) cipta rekod baharu untuk meraih pingat gangsa. FOTO Reuters
Syazwan Msar


Phnom Penh: Perenang negara mencipta sensasi apabila berjaya mencipta dua rekod baharu kebangsaan pada hari ketiga acara renang dipertandingkan di temasya Sukan Sea Kemboja, sebentar tadi.

Acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Kompleks Sukan Morodok Techo itu menyaksikan perenang negara, Tan Khai Xin berjaya mencipta rekod kebangsaan baharu bagi acara 400 meter rampaian individu lelaki namun hanya membawa pulang pingat gangsa untuk negara.

Khai Xin mengakhiri saingan menerusi catatan masa 4 minit 23.24 saat sekali gus memadam rekod dicipta Khiew Hoe Yean pada kejohanan di Sepanyol dua tahun lalu.

Kejayaan itu sekali gus menyelamatkan maruah Malaysia apabila menjadi perenang tunggal memenangi pingat pada hari ketiga acara renang dipertandingkan.

Menurut Khai Xin, kejayaan mencipta rekod baharu kebangsaan seterusnya membawa pulang gangsa mengubati kedukaan apabila pulang tangan kosong pada penampilan di Sukan Sea Hanoi tahun lalu.

"Saya bekerja keras sepanjang tahun lalu semata-mata mahu tampil lebih menyakinkan di Sukan Sea Kemboja. Ternyata segala penat lelah berbaloi apabila merangkul pingat gangsa dan mencipta rekod baharu kebangsaan," katanya.

Acara 400 meter rampaian individu lelaki itu menyaksikan pingat emas dan perak dibolot peserta Vietnam menerusi Hung Nguyen Tran (4:19.12s) serta Quang Thuan Nguyen (4:21.03s).

Selain acara berkenaan, atlet negara turut mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara 4X100 m rampaian lelaki menerusi gandingan Hoe Yean, Andrew Goh Zheng Yen, Bryan Leong Xin Ren dan Arvin Singh.

Pasukan lelaki itu mencatatkan 3:42.12s sekali gus memadam rekod enam tahun 3:45.07 yang dilakukan Tern Jian Han, Wong Fu Kang, Chan Jie dan Keith Lim Kit Sern di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Wakil dari Singapura memenangi pingat emas menerusi catatan masa 3:37.45s, diikuti Thailand (3:41.75s) dan Indonesia (3:41.92s).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 11:48 PM