PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media di Wisma OCM, hari ini. FOTO FB MOM
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media di Wisma OCM, hari ini. FOTO FB MOM
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Dua persatuan sukan, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persekutuan Renang Malaysia (MS) perlu melakukan tindakan drastik bagi memastikan atlet dihantar ke Sukan Sea Kemboja, tahun depan, mampu memberikan impak positif.

Perkara itu ditegaskan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas mengambil kira prestasi kurang memuaskan daripada dua cabang sukan terbabit ketika saingan di Sukan Sea Hanoi di Vietnam, pada Mei lalu.

Malah, beliau menyifatkan ia adalah 'punca' kepada kemerosotan prestasi kontinjen Malaysia ketika itu sehingga terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di tempat keenam.

"Kalau dulu saya katakan pada Sukan Sea Hanoi (2021), antara sukan meletakkan kita di bawah (kedudukan ke-6) adalah olahraga dan renang.

"Perkara sama akan terjadi sekiranya kita tidak tambah baik apa yang terjadi sebelum ini," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penetapan Kriteria Pemilihan Atlet ke Sukan Sea Kemboja 2023 di Wisma OCM, hari ini.

Beliau berkata, usaha untuk meningkatkan prestasi atlet perlu dilakukan dua persatuan itu dan pada masa sama perlu menerangkan perancangan kepada MOM menjelang temasya edisi ke-32 itu, tahun depan.

Ini kerana, katanya, hanya enam pingat emas diraih daripada dua sukan itu menerusi Khiew Hoe Yean bagi acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki, Jackie Wong (baling tukul besi), Andre Anura Anuar (lompat kijang), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Grace Wong (baling tukul besi) dan Nor Sarah Adi (lompat bergalah).

"Pada Sukan Sea Kemboja nanti, sebanyak 39 pingat emas daripada sukan renang dan 47 pingat emas bagi olahraga ditawarkan.

"Berpandukan kepada pingat emas di Sukan Sea Hanoi, kita ada satu daripada renang dan lima daripada olahraga di mana semuanya adalah acara padang.

"Jadi, saya fikir dua persatuan sukan ini perlu ambil langkah yang sebetulnya supaya prestasi dapat ditingkatkan. Mereka perlu terangkan kepada kami perancangan akan datang," katanya.

Selain itu, beliau mahu semua persatuan sukan dapat menguruskan sebaiknya mengenai tanggapan umum seperti dilakukan ketika Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Katanya, walaupun hanya menyenaraikan 104 atlet di Birmingham 2022, kontinjen negara berjaya mencapai sasaran dan orang ramai gembira dengan pencapaian itu.

"Ini kerana, kita dapat penuhi sasaran ditetapkan. Walaupun atlet kurang tapi kita cuba fokus untuk capai sasaran.

"Jangan kita hantar seramai mana yang boleh dan cakap boleh buat macam-macam tapi akhirnya tidak dapat capai apa yang dimahukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 5:32 PM