CHEONG Min gembira dan teruja kerana ini adalah penampilan pertamanya di Sukan Sea. FOTO ASWADI ALIAS
CHEONG Min gembira dan teruja kerana ini adalah penampilan pertamanya di Sukan Sea. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet wushu negara, Tan Cheong Min bersedia menyahut cabaran membawa pulang 'sesuatu' untuk negara apabila dia disenaraikan kali pertama untuk beraksi di temasya Sukan Sea Kemboja Mei depan.

Olahragawati Kebangsaan 2019/2020 itu berkata, dia cukup bersemangat untuk membuat penampilan kali pertama di pentas temasya dwi tahunan itu sekali gus mahu menjadikannya sebagai kenangan terindah dengan membawa pulang pingat buat negara.

Katanya, dia kini dalam rangka persiapan dengan memperbaiki setiap kelemahan dan melakukan yang terbaik supaya tampil lebih bersedia di temasya dwi tahunan itu.

"Saya gembira dan teruja kerana ini adalah penampilan pertama di Sukan Sea walaupun sebelum ini pernah beraksi di kejohanan dunia dan Sukan Asia.

"Sudah tentu penampilan pertama di pentas Sukan Sea agak gemuruh tapi saya yakin mampu melakukan terbaik untuk negara.

"Setakat ini, persediaan berjalan lancar walaupun tidak mencapai 100 peratus tapi menunjukkan peningkatan positif," katanya.

Mengikut rekod, kem wushu negeri meletakkan sasaran satu pingat emas temasya Sukan Sea Kemboja di Phnom Penh, Mei ini.

Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) baru-baru ini sudah pun mengeluarkan senarai atlet yang akan membawa cabaran buat negara di Sukan Sea Kemboja.

Antara yang menjadi pertaruhan untuk membawa pulang pingat untuk negara adalah Clement Ting Su Wei dan Tan Zhi Yan yang sebelum ini meraih emas untuk negara pada edisi lalu.

Di temasya Hanoi sebelum ini, pasukan wushu negara membawa pulang dua emas, satu perak dan dua gangsa untuk berada di tangga kelima daripada 10 negara yang menyertai sukan berkenaan.

Vietnam muncul juara keseluruhan dengan 10 emas, tiga perak dan tujuh gangsa manakala Indonesia di tempat kedua, tiga emas, sembilan perak dan tiga gangsa.

Singapura berada di tangga ketiga dengan dua emas, tiga perak dan satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 3:15 PM