MOHAMAD Norza mempengerusikan Jawatankuasa Pemilihan Atlet MOM. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHAMAD Norza mempengerusikan Jawatankuasa Pemilihan Atlet MOM. FOTO Hairul Anuar Rahim
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet senior berusia 23 tahun ke atas perlu bekerja lebih keras lagi kerana mereka tidak akan dinilai di bawah Kategori B untuk beraksi di Sukan Sea Kemboja tahun depan.

Jawatankuasa Pemilihan Atlet Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan syarat atlet terbabit wajib melepasi kriteria pemilihan Kategori A iaitu berada di kedudukan ketiga terbaik di Asia Tenggara.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pemilihan Atlet MOM, hanya atlet muda berusia 23 tahun ke bawah akan dipertimbangkan di bawah Kategori B terutama atlet yang menghasilkan keputusan cemerlang di Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Bagi Kategori A, atlet perlu menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga dalam ranking Asia Tenggara bagi acara individu dan keempat untuk berpasukan manakala Kategori B pula atlet perlu berada di kedudukan keenam teratas untuk dipertimbangkan.

"Atlet senior (23 tahun ke atas) wajib melepasi kriteria pemilihan Kategori A yang ditetapkan. Tiada atlet senior akan dipertimbangkan di bawah Kategori B.

"Atlet muda (23 tahun ke bawah, hanya berpandukan kepada Sukma 2022) akan diberi keutamaan untuk disenaraikan di bawah Kategori B sebagai persiapan ke temasya Sukan Sea 2025 dan 2027," katanya.

Mengikut rekod, jawatankuasa itu dipengerusikan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selain empat lagi panel iaitu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli, Datuk Wira Mazlan Ahmad (ahli bebas) dan Zainal Abas (ahli bebas).

Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut menetapkan bahawa hanya sukan yang terdiri daripada 25 ahli gabungan MOM akan dipilih untuk bertanding di Sukan Sea Kemboja.

"Jawatankuasa pemilihan akan mempertimbangkan sukan-sukan bukan ahli gabungan MOM secara berasingan dengan syarat-syarat tambahan yang akan ditetapkan kemudian.

Sukan Sea Kemboja yang dijadual berlangsung bermula 5 hingga 17 Mei tahun depan menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingan membabitkan 608 acara.

Pada Sukan Sea Hanoi, Mei lalu, kontinjen Malaysia menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan selepas mengutip 39 pingat emas 45 perak dan 90 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 11:44 AM