NEERAJ berjaya muncul juara Liga Berlian di Lausanne. FOTO EPA
NEERAJ berjaya muncul juara Liga Berlian di Lausanne. FOTO EPA
Reuters

Lausanne: Juara Olimpik merejam lembing, Neeraj Chopra, yang menjadi atlet pertama India muncul juara di Liga Berlian dengan rejaman 89.08 meter (m) di Lausanne berkata, kemenangan berkenaan adalah detik penting untuk negaranya.

Atlet berusia 24 tahun itu menang hasil daripada percubaan pertama dan menamatkan saingan penuh selesa mengatasi naib juara, Jakub Valdeich (85.88m).

Keputusan itu membantunya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2023.

Neeraj gembira untuk mencatat kejayaan selepas dia kembali daripada kecederaan pangkal paha, yang berlaku semasa menggondol perak di Kejohanan Dunia di Eugene dan seterusnya memaksanya untuk tidak beraksi Sukan Komanwel di Birmingham.

"Kejayaan ini adalah sangat penting untuk negara kami. Saya terpaksa melupakan Sukan Komanwel kerana kecederaan pangkal paha dan saya rasa saya perlu menamatkan saingan musim ini.

"Bagaimanapun, saya tidak berasa terlalu sakit, jadi saya mempunyai kepercayaan bahawa saya akan pulih sebelum kejohanan," katanya.

Neeraj juga layak untuk beraksi di Liga Berlian Akhir di Zurich yang dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 8 September.

"Hanya 10 hari lagi, saya tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan latihan tambahan. Tumpuan adalah untuk menamatkan musim ini dengan positif tanpa sebarang kecederaan," tambah Neeraj, yang mencatat rekod terbaik peribadinya ialah 89.94m.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 9:08 PM