SHA’CARRI catat 11.29s. FOTO Reuters
SHA’CARRI catat 11.29s. FOTO Reuters
Reuters

Luzerne: Jaguh pecut wanita Amerika Syarikat, Sha'Carri Richardson menewaskan juara Olimpik dari Jamaica Elaine Thompson-Herah untuk memenangi 100 meter (m) wanita di Luzerne.

Acara yang berlangsung di atas trek basah menyaksikan Sha'Carri mencatat 11.29 saat (s) mengatasi Elaine (11.30s) dan seorang lagi atlet AS, Celera Barnes (11.40s).

Ia acara pertama disertai Sha'Carri sejak Kejohanan Luar Dewan AS di Eugene pada Jun lalu. Dia gagal layak ke Kejohanan Olahraga Dunia Julai lalu, kedua-duanya dalam acara 100m dan 200m.

Manakala Elaine sebaliknya apabila bertanding di Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Liga Berlian sejak dua bulan lalu.

Dia berusaha menebus kekecewaan selepas terlepas podium di Liga Berlian di Lausanne minggu lalu susulan 'false start'. Sebelum itu Elaine menang di Eugene dan Rabat.

AS juga menjuarai acara pecut lelaki apabila Marvin Bracy yang memenangi pingat perak di Kejohanan Dunia di Eugene Julai lalu menang 100m lelaki dengan catatan 10.17s, mengatasi juara Afrika dari Kenya, Ferdinand Omanyala yang mencatat 10.18s.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 11:54 AM