NADAL ketika sidang media selepas tamat perlawanan menentang McDonald.
NADAL ketika sidang media selepas tamat perlawanan menentang McDonald.
Reuters

Melbourne: Juara bertahan Rafa Nadal tersingkir di pusingan kedua Terbuka Australia hari ini selepas mengalami kecederaan ketika tewas 6-4, 6-4, 7-5 kepada pemain Amerika Syarikat Mackenzie McDonald.

Juara 22 kali Grand Slam itu tampak beraksi tidak selesa susulan kecederaan di bahagian pangkal paha kiri dan terpaksa mendapatkan rawatan ketika ketinggalan 6-4, 5-3 di Rod Laver Arena.

Dia kembali beraksi tetapi pergerakannya terjejas dan akhirnya terpaksa mengalah sekali gus menamatkan misinya untuk menjuarai gelaran ketiga di Melbourne Park.

"Sudah beberapa hari ia seperti ini," kata Nadal mengenai kecederaannya. "Saya mempunyai sejarah masalah pangkal paha dan menjalani rawatan sebelum ini. Tapi kali ini saya gagal bertahan."

Ketika Nadal bergelut, McDonald tampil aksi tangkas dan lebih baik sebelum lawan yang lebih veteran itu terjejas akibat kecederaan.

Selepas dimalukan Nadal pada peringkat sama di Terbuka Perancis 2020 yang juga pertemuan tunggal mereka, McDonald jelas gembira meraih kemenangan.

"Kali terakhir saya menentangnya di Chatrier, saya seperti budak baru belajar tenis," kata pemain nombor 65 dunia itu.

"Dia juara yang hebat, dia tidak pernah berputus asa walaupun apa situasi dan sentiasa sukar menentangnya sehingga penghujung perlawanan."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 3:36 PM