AZEEM alami kecederaan pangkal paha. -FOTO Twitter Azeem Fahmi
AZEEM alami kecederaan pangkal paha. -FOTO Twitter Azeem Fahmi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi menaruh harapan tinggi segera pulih daripada kecederaan supaya dapat beraksi di peringkat suku akhir 100 meter (m) kelayakan NCAA di Florida awal pagi Sabtu.

Ketika ini, Azeem bergelut dengan kecederaan di pangkal peha sekali gus mengganggu rentaknya untuk mencipta kejayaan positif pada kejohanan terbabit.

Azeem berkata, dia bagaimanapun masih berjaya layak menyertainya sebagai tiga pelari terpantas peringkat saringannya menerusi catatan masa 10.21 saat (s) pada pusingan pertama semalam.

Bagaimanapun, pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan masa 10.09s itu merasakan keadaannya tidak berada pada tahap terbaik selepas menamatkan larian di Stadium Hodges, Jacksonville itu.

"Sebelum ini saya tak pasti dapat lari atau tidak sebab saya cedera pangkal paha. Sebab itu juga saya tak berlatih selama lima hari kerana beri fokus untuk proses pemulihan.

"Saya warm up (panaskan badan) pun masih rasa sakit tetapi Alhamdulillah dapat juga berlari hari ini dan layak ke pusingan seterusnya.

"Sekarang bimbang tak sempat (aksi suku akhir) sebab tadi saya lari 10.21s pun dalam keadaan terhincut-hincut. Harap keajaiban berlaku dan dipermudahkan urusan saya," katanya.

Berikutan kecederaan itu, Azeem yang mewakili Universiti Auburn terpaksa menerima rawatan dan membalut bungkusan ais di bahagian pangkal paha kanan selepas tamat perlumbaan semalam.

Di suku akhir, Azeem diletakkan dalam saringan 3 bersama Cole Beck dengan masa 10.05s di pusingan pertama, Da'Marcus Fleming (10.10s), Wanya McCoy (10.10s), Rodney Heath Jr. (10.13s), PJ Austin (10.14s), Javonte Harding (10.14s) dan Antonio Laidler (10.19s).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 2:18 PM