COLEMAN catat 9.79 saat acara 100m di Kejohanan Liga Berlian,  semalam. FOTO/AGENSI
COLEMAN catat 9.79 saat acara 100m di Kejohanan Liga Berlian, semalam. FOTO/AGENSI
Reuters

BRUSSELS: Pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Christian Coleman muncul Raja Pecut Dunia selepas melakukan larian terpantas dengan catatan 9.79 saat dalam acara 100 meter di Kejohanan Liga Berlian, di sini, semalam.

Kejayaan itu menyusul selepas dia mencatat rekod dunia acara 60 meter dalam Kejohanan Dalam Dewan awal tahun ini.

Rakan senegaranya, Ronnie Baker, yang sebelum ini mencatat masa terpantas minggu lalu mencatat mas kedua terpantas dengan catatan 9.93 saat manakala atlet Jamaica Yohan Blake ketiga terpanttas dengan ketinggalan 0.001 saat.

Coleman, yang juga pemenang pingat perak di Kejohanan Dunia di London tahun lalu, pernah menderita kecederaan pangkal paha yang lama sebelum pulih dan kembali mencatat masa terbaiknya di Brussels.

"Saya rasa amat bagus. Saya tiba di sini dengan penuh pita perekat di bahu saya  dan orang ramai sudah tidak memperkatakan mengenai saya lagi. Mereka terlupa pencapaian saya tahun lalu, tetapi saya tidak menyalahkan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai status barunya sebagai Raja Pecut, dia lantas menjawab: “Saya juga fikir begitu.”

"Saya rasa setakat ini saya sudah kembali berada di kemuncak, tetapi ramai lagi atlet mahu kedudukan yang sama. Maka saya perlu kekal sihat dan terus mendapatkan saingan dalam pertandingan gred A dan terus kerja keras,” katanya.

Brussels menjadi tuan rumah Liga Berlian buat kali kedua selepas Zurich, yang menawarkan pemenang keseluruhan wang tunai AS$50,000 (RM205,000).

Dalam pada itu, atlet lompat jauh Colombia, Caterine Ibarguen muncul pemenang hadiah terbesar semalam hasil hasil kejayaan dalam acara lompat kijang di Zurich sebelum melakar kejayaan keduanya dengan menjuarai acara lompat jauh di Brussels, semalam.

Ibarguen berkata, dia bangun seawal jam 5 pagi dari hotel penginapannya di Switzerland untuk bergegas ke Brussels tepat pada masanya sambil mengakui akan berkongsi hadiah kemenangan itu bersama keluarganya.

Atelt Ethiopia, Selemon Barega turut mencatat masa terpanas musim ini dalam acara 5,000m dengan masa 12 minit 43.02 saat.

Sementara itu, jaguh lompat bergalah Russia, Timur Morgunov dengan catatan 5.93m manakala juara Erpopah, Armand Duplantis sekadar ketujuh dengan catatan 5.68m.

Pelari wanita jarak jauh Kenya, Beatrice Chepkoech tidak mampu dicabar apabila menamatkan saingan acara 3,000m lari berhalangan dengan rekod baru 8:55.10s.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 8:53 AM