TANGKAP layar video tular menunjukkan insiden berkenaan.
TANGKAP layar video tular menunjukkan insiden berkenaan.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Satu rakaman video memaparkan pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di sebuah kafe di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, baru-baru ini, tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi 43 saat itu, seorang daripada suspek dipercayai anak kepada bekas wakil rakyat bergelar 'Datuk' di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

"Sehingga kini, masih belum ada tangkapan dibuat dan punca kejadian masih dalam siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini.

Difahamkan kejadian itu berlaku 1 pagi, 11 Mei lalu ketika mangsa yang juga lelaki berusia 18 tahun membeli air di kafe berkenaan, sebelum didatangi dua lelaki dan seorang wanita di kafe itu, lalu dipukul di bahagian kanan muka tanpa sebab.

Berikutan itu, dua rakannya, masing-masing lelaki berusia 19 tahun dan wanita berusia 26 tahun, datang serta cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

Akibatnya, rakan lelaki turut ditumbuk di bahagian kiri muka dan perut serta ditendang belakang badan, manakala rakan wanita pula ditumbuk di bahagian perut dan belakang badan.

Kesemua mangsa dikatakan beredar dari tempat itu sejurus kejadian dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut, dua hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 9:05 AM