MASJID Haram dan Kaabah begitu kuat aura dan pesonanya kerana setiap umat Islam yang berada di sisinya pasti akan menjadi hamba Allah yang khusyuk hatinya dalam mempersembahkan amal ibadah kepada-Nya. FOTO AFP
MASJID Haram dan Kaabah begitu kuat aura dan pesonanya kerana setiap umat Islam yang berada di sisinya pasti akan menjadi hamba Allah yang khusyuk hatinya dalam mempersembahkan amal ibadah kepada-Nya. FOTO AFP
Mohd Rizal Azman Rifin

Setiap musim haji, hati kembali tergamit kenangan semasa berada di Bumi Haramain Makkah dan Madinah untuk mengerjakan ibadah umrah empat tahun yang lalu. Di kala para jemaah sedang menuju ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji, rasa ingin turut serta bersama mereka seakan-akan tidak tertahan lagi. Begitulah kuatnya 'aura Tanah Suci' yang terbungkus rapi dalam hati.

Sesungguhnya meskipun bukan untuk ibadah haji yang menjadi tujuan ulung di hati, namun ditakdirkan dapat tunaikan umrah (haji kecil) membugar semangat untuk menyahut seruan Ilahi. 

Setelah sekian lama memendam keinginan yang amat sangat untuk mengerjakan umrah, akhirnya dimakbulkan Allah. Alhamdulillah. Maka pada bulan akhir November akhir tahun lalu, saya bersama seisi keluarga merafakkan kesyukuran kerana menjadi antara sekian ramai 'Tetamu Allah'.

Sebelum inipun hati telah tertutup rapat untuk berziarah ke tempat lain kerana sudah nekad bumi asing pertama saya akan jejaki ialah bumi kelahiran Rasulullah SAW. Azam dan niat yang tercetak kemas dalam hati itu nyata diredai Allah.

Sebaik sahaja bas membawa rombongan kami menuju Makkah, kami terus ke hotel penginapan yang bernama Retaj al-Baiyt yang terletak 50m dari Masjid Haram. Dekat dan cukup memudahkan pergerakan kami untuk ulang-alik ke masjid yang ganjaran satu solatnya 100,000 kali berbanding masjid lain. 

Makkah khususnya Masjid Haram dan Kaabah begitu kuat aura dan pesonanya kerana setiap umat Islam yang berada di sisinya pasti akan menjadi hamba Allah yang khusyuk hatinya dalam mempersembahkan amal ibadah kepada-Nya. Segenap ruang hati terisi dengan harapan mengharapkan reda Allah dan memohon keampunan daripada-Nya.

Perjalanan dari bilik hotel dengan memakai pakaian ihram sambil mulut tidak pernah lekang daripada berzikir dan berdoa, menyusun langkahan kaki dengan tegap menuju ke Kaabah. Manusia Mukmin yang begitu ramai memandangkan kami berumrah semasa musim cuti persekolahan tidak mengecutkan hasrat hati untuk terus menyusun langkah menuju Baitullah. 

Pertama kali menatap Kaabah yang tersergam gah di hadapan mata, mulut seolah-olah terkunci kelu seketika. Ya Allah, terima kasih Allah kerana sampai juga aku di sini dan Engkau permudahkan setiap gerak kerja amalan umrahku ini. Itulah antara bisikan kata hati tatkala melihat Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim bersama putera kesayangannya, Nabi Ismail.

Saya bersama ahli keluarga dan seluruh ahli rombongan Jad Travel yang dipimpin oleh Al-Fadil Ustaz Badrul Hakimi tidak membuang masa terus mengikut apa yang dipandukan oleh beliau dalam menyelesaikan tawaf sebelum bergerak ke Marwah dan Safa bagi mengerjakan saie. Tentu sekali ingatan kita sesekali akan terimbau kepada kisah-kisah yang pernah dilalaui oleh Nabi Ibrahim bersama isterinya Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail.

Berada di sisi Kaabah untuk bertawaf membuatkan kita berasa terkena 'tempias' mukjizat Nabi Ibrahim yang berdoa kepada Allah agar menjadikan Makkah dan Kaabah sebagai tempat yang dikunjungi oleh umat manusia dan nyata sekali Allah memakbulkan doa Rasul-Nya yang hingga sekarang jutaan umat Islam tetap setia mengunjunginya sama ada untuk menunaikan ibadah haji mahupun umrah.

Pesona Makkah. Aura iman Kaabah. Dua frasa kata ini hanya sekelumit yang mampu saya ungkap untuk menggambarkan bahagianya hati berada di tanah haram ini. Umrah yang kami lakukan juga terisi dengan meninjau beberapa kawasan yang ada hubungannya dengan pensejarahan Islam khususnya yang membabitkan Rasulullah SAW sendiri. Ustaz Badrul Hakimi nakhoda umrah kami membawa ahli rombongan ke sekitar pesisir bangunan Masjid Haram. Kunjungan pertama yang begitu mengharukan ialah semasa berada di persekitaran tapak rumah kelahiran Rasulullah SAW yang kini dijadikan perpustakaan.

Walaupun ia bukanlah sebagaimana rupa bentuk rumah yang asal, namun hati kami tetap puas kerana dapat berada di kawasan hampir dengan tempat Rasulullah SAW dilahirkan. Sambil berjalan mundar-mandir meninjau persekitaran rumah kelahiran Rasulullah SAW itu, saya terbawa-bawa dengan kisah perjuangan Nabi kecintaan Muhammad SAW yang kental jiwa dan semangatnya melakukan seruan dakwah meskipun sentiasa dihimpit dengan aneka dugaan yang bukan kepalang daripada masyarakat kaumnya sendiri.

Sesekali juga hati dan kotak minda terkocak kembali akan bacaan sirah Baginda SAW bersama para sahabatnya yang diredai Allah dalam membantu Rasulullah SAW memancar sinar Islam di bumi Makkah. Malah, sedang ahli rombongan sedang asyik melihat rumah kelahiran Rasulullah SAW sambil bergambar kenangan, tiba-tiba sahaja saya diusik dengan ingatan terhadap Bilal bin Rabah, hamba berkulit hitam, tetapi Allah memutihkan hatinya untuk menjadi antara manusia Makkah terawal dalam menerima seruan dakwah Rasulullah SAW.

Sebenarnya ingatan saya sudah berbekas jitu dalam hati tatkala mendengar laungan azan oleh muazin Masjid Haram kerana seketika itu jua pilunya hati mengenangkan penderitaan dan dugaan besar yang terpaksa dilalui oleh Bilal dahulu. Bilal bin Rabah adalah muazin pertama Rasulullah SAW dan laungan azan di Masjid Haram itu tidak boleh memadamkan ingatan kepada nama sahabat Rasulullah SAW itu.

Terus terang saya katakan bahawa sukar selama ini untuk membuatkan air mata mengalir tatkala mendengar laungan azan di masjid, namun semasa berada di Masjid Haram ini khususnya apabila mendengar laungan azan oleh muazin tanpa sedar dan dipaksa-paksa, air mata saya menitis laju membasahi pipi. 

Sesungguhnya, ikhlas seikhlasnya saya katakan berada di dalam Masjid Haram dan bertawaf di Kaabah adalah detik teramat bahagia yang pernah dilalui selama ini. Minda dan gerakan denyut hati tenggelam dalam menghayati sirah Rasulullah SAW bersama para sahabatnya. Sesungguhnya juga kunjungan ke Makkah ini bukanlah melancong santai merehatkan minda, tetapi berziarah ke Makkah merupakan pelancongan mengubati hati.

Niat dan usaha belum pernah terpadam dan masih tidak pernah surut untuk melengkapkan 'Pakej Rukun Islam' dengan mengerjakan haji. Hati sentiasa melonjak-lonjak keriangan penuh bersyukur tatkala mendapat khabar ada saudara-mara, sahabat taulan yang lebih awal mendapat 'jemputan khas' daripada Allah sebagai 'duyufurrahman', tetamu terhormat Allah. 

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 7:02 AM