Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Lelaki yang memanjat pencawang elektrik di Kampung Muhibbah, Bandar Darulaman, petang semalam, ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, hasil siasatan mendapati, lelaki berusia 39 tahun itu beralamat di Batu Kurau, Perak.

Beliau berkata, suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan akan dirujuk ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk ujian saringan air kencing, hari ini.

"Dalam kejadian semalam, bilik gerakan IPD Kubang Pasu menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 6.24 petang yang memaklumkan suspek dipercayai memanjat pencawang elektrik itu.

"Berikutan itu anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan anggota Balai Polis Jitra tiba di lokasi dan mendapati suspek masih berada di atas pencawang berkenaan.

"Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kubang Pasu dan ambulans turut berada di lokasi untuk melakukan penyelamatan dan suspek berjaya dibawa turun pada 8.45 malam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media semalam melaporkan, seorang lelaki bertindak berani dengan memanjat pencawang elektrik sehingga menimbulkan ketakutan orang ramai di Kampung Muhibbah, Bandar Darulaman di sini.

Aksi lelaki terbabit memanjat pencawang bagaikan 'Spiderman' itu turut dirakam orang awam yang memenuhi kawasan itu dan boleh membahayakan nyawanya kerana arus voltan elektrik yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 9:16 AM
LELAKI itu memanjat pencawang elektrik di Kampung Muhibbah, Bandar Darulaman, petang semalam, FOTO Ihsan Bomba
LELAKI itu memanjat pencawang elektrik di Kampung Muhibbah, Bandar Darulaman, petang semalam, FOTO Ihsan Bomba