DALAM menempuh realiti kehidupan yang penuh pancaroba ini, ada bahagian dalam kehidupan yang kadangkala kita terpaksa fight alone atau berjuang sendirian dan ia perlu dilakukan sama ada kita suka atau tidak suka. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
DALAM menempuh realiti kehidupan yang penuh pancaroba ini, ada bahagian dalam kehidupan yang kadangkala kita terpaksa fight alone atau berjuang sendirian dan ia perlu dilakukan sama ada kita suka atau tidak suka. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Apabila menyebut mengenai perjuangan secara bersendirian, amat susah untuk dimengertikan. Bila difikirkan bagaimana kita boleh melakukan secara sendirian tanpa bantuan atau sokongan daripada mana-mana pihak sama ada rakan seperjuangan, sahabat handai, ahli keluarga atau kumpulan komuniti di sekeliling kita.

Jika diambil contoh dalam peperangan sekalipun, ia tidak akan berjaya jika dilakukan berseorangan, kita tolak cerita 'Rambo' yang wataknya dipegang oleh Sylvester Stallone kerana hanya cerita.

Dalam dunia nyata, tidak akan terjadi sedemikian kisahnya, mana mungkin seorang askar boleh berjuang sendirian menghapuskan satu gerombolan beribu-ribu askar musuh.

Namun, dalam menempuh realiti kehidupan yang penuh pancaroba ini, ada bahagian dalam kehidupan yang kadangkala kita terpaksa fight alone atau berjuang sendirian dan ia perlu dilakukan sama ada kita suka atau tidak suka.

Berikut beberapa contoh perjuangan secara sendirian yang disertakan tip bagi meneruskan kehidupan.

Contoh pertama ialah ketika ditimpa masalah kesihatan kritikal seperti kanser atau penyakit lain yang membahayakan nyawanya, maka dia terpaksa berjuang untuk hidup dengan ketabahan dan kesabaran mengikut segala perancangan yang dibuat oleh pakar kesihatan tanpa gagal.

Meskipun ia berbentuk perjuangan peribadi, jiwa dan semangat perlu ada untuk terus hidup dan melawan apa yang dialaminya tanpa mengganggu emosi atau putus asa untuk meneruskan kehidupan.

Ini adalah perjuangan peribadi yang paling getir dalam hidup dan perlu ada semangat, kekentalan dan jiwa yang aman.

Dalam perjuangan secara solo begini, banyakkan berdoa kepada Yang Maha Pencipta agar dapat disembuhkan segera dan tabah menghadapi sakit yang teramat sangat dilalui. Di samping berdoa, cari jalan penyelesaian dengan cara lain atau Plan B iaitu alternatif termasuk berubat secara tradisional jika diizinkan Allah SWT, boleh sembuh juga.

Kita hanya perlu usaha untuk apa yang kita alami dan rasai agar sihat kembali, kekentalan jiwa sangat perlu, ketabahan pun sangat diperlukan, jangan sesekali putus asa untuk menghadapinya.

Fikirkan sesuatu yang indah atau kenang balik apa yang membuatkan kita gembira pada suatu masa dahulu dan jadikan orang yang kita sayang sebagai pemangkin untuk terus kita menjalani kehidupan ini.

Contoh kedua, perjuangan individu yang nyata adalah kesunyian dan keseorangan mungkin akibat dirinya terasa hina, miskin, tidak menawan dan ala kadar sahaja. Dunia ini mungkin berseorangan akibat segala kekurangan yang ada.

Mungkin ada yang berkata 'tak handsome tak apa, janji kaya' mungkin boleh dijadikan motivasi dan keyakinan untuk berjaya, rupa paras bukan nilai tertentu untuk berjaya. Mungkin perjuangan secara berseorangan nanti akibat dipinggirkan kerana kekurangan, tapi janganlah jadikan kekurangan diri untuk terus jatuh ke arah kegagalan.

Mungkin cuba lihat kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, legenda dunia perfileman bukan handsome, tapi manis dan menawan serta menghiburkan peminat dan menjadi kegilaan ramai di zamannya.

Jika kita berasa kekurangan, ingatlah penampilan kita amat penting dan bahasa gaya pertuturan dan kemahiran dalam membentuk personaliti yang menawan akan membuatkan kita menjadi tarikan nanti. Jangan kecundang sebelum berusaha dan jadikan ikon dunia sebagai rujukan kita untuk menempa kejayaan.

Contoh ketiga, kita masuk pula ke alam pekerjaan. Apabila kita bagai dipinggirkan dalam alam pekerjaan sama ada pangkat tak naik, tiada kemudahan, segala faedah tidak diberikan walaupun kita sudah mempersembahkan mutu kerja paling baik, suatu nasihat yang paling baik untuk menyamankan fikiran ialah 'tiada rezeki kita lagi' berfikiran positif terhadap segalanya dan kehidupan perlu diteruskan.

Ambil satu pendekatan iaitu mempelajari sesuatu yang paling penting dalam pekerjaan iaitu apabila orang tidak dapat melaksanakankannya seperti pengendalian powerpoint yang terkini dan canggih atau buat cadangan yang lain daripada orang lain atau lakukan sesuatu kerja dengan mendalaminya secara terperinci.

Jika orang lain tidak berupaya melakukannya, dengan itu bos akan lebih mengharapkan kita berbanding kebolehan biasa-biasa pekerja lain dalam jabatan. Jika kedekut ilmu bab ini pun tidak apa sebab kita lakukan untuk perjuangan kita sendiri dan ia akan mendapat perhatian daripada pihak atasan.

Jika pangkat tidak naik-naik juga atau gaji di takuk lama, cuba cara ini iaitu pendekatan melalui kemahiran diri atau kemahiran sosial yang spesifik untuk membentuk kejayaan. Jika sekalipun tidak dipedulikan juga, kita tetap akan dihormati sebab hanya kita berupaya melakukan kemahiran itu.

Contoh keempat, apabila keluarga, masyarakat atau sahabat tidak mempedulikan kita walaupun kita sudah berusaha sedaya upaya untuk membuatkan mereka ambil berat dan pupuk semangat silaturahim, jangan putus asa untuk meneruskan pergaulan.

Berjinak-jinak dengan ahli atau jemaah surau berdekatan, berkawan dengan ahli agama dengan menyertai program dan berjemaah setiap solat di surau atau masjid, kita memang akan pergi bersendirian, tapi majlis ilmu yang kita sertai ustaz cakap seperti duduk dalam taman 'raudah.'

Tengok betapa mulianya kita walaupun hanya mendengar dan mengambil nasihat dan iktibar secara berseorangan, ia boleh digunapakai dengan baik untuk meneruskan kehidupan dan jika ada duit lebih melalui tabungan yang kita buat sertai atau kerjakan umrah setiap tahun.

Cara itu membolehkan kita beramal, berkawan dengan ahli umrah dan mendapat pahala dan ketenangan di Tanah Suci nanti. Sudah tentu, ia suatu healing paling indah di dunia kurniaan Ilahi.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah IPD Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 7:02 AM