FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kepentingan kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai AI dalam bidang kewartawanan ketika ini tidak dapat dinafikan terutama dalam membantu wartawan membuat kajian dan mencari maklumat.

Presiden Institut Akhbar Malaysia Datuk Yong Soo Heong berkata, walaupun begitu, AI tidak boleh mengambil alih tugas seseorang wartawan yang akhirnya akan mencorakkan sendiri laporan mereka berdasarkan maklumat daripada AI berlandaskan etika kewartawanan.

"Kebolehan menulis atau menyampaikan sesuatu berita itu adalah kerja hakiki kita sebagai wartawan, kita tidak boleh 'menyamar' menggunakan AI untuk membantu kita menipu bos.

"Setiap wartawan patut kagum dengan kebolehan mereka masing-masing, AI ialah alat untuk bantu mereka dalam hal produktiviti dan hal kajian tetapi dalam artikel yang dikeluarkan mereka, kena gunakan kemahiran mereka untuk jana karya tersendiri," katanya kepada Bernama.

Yong yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, pengamal media harus bijak dalam menggunakan AI tanpa meminggirkan etika kewartawanan dengan memastikan maklumat yang diberikan adalah berdasarkan sumber sahih sesuai dengan kod etika kewartawanan baharu yang dilancarkan Februari lepas.

Menurut Yong, walaupun AI menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengamal media, ia tidak boleh dijadikan tempat bergantung 100 peratus, sepertimana ditekankan dalam kod etika berkenaan iaitu wartawan perlu memberikan keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan berterusan.

Bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 27 Mei ini, satu Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan 'Evolusi Media dalam Era Digital' akan diadakan membabitkan penceramah terkenal dari dalam dan luar negara.

Mengangkat tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan" Hawana 2024 dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 8:11 AM