WANITA juga mampu bersaing dengan pekerja lelaki.
WANITA juga mampu bersaing dengan pekerja lelaki.
Muhammad Saufi Hassan


USAHA untuk pemerkasaan penyertaan tenaga buruh wanita dalam sektor pekerjaan di negara in perlu diteruskan bagi mencapai sasaran 60 peratus yang ditetapkan kerajaan.

Secara hakikatnya, kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam sektor pekerjaan di negara ini masih jauh ketinggalan berbanding tenaga buruh lelaki walaupun ia menampakkan trend peningkatan sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Untuk rekod, sehingga Jun tahun lalu, sebanyak 56.3 peratus wanita memasuki sektor pekerjaan berbanding 55.5 peratus pada 2020 dan 55.9 peratus tahun lalu.

Jika dibandingkan dengan kadar penyertaan tenaga buruh lelaki yang berada pada kadar 82.9 peratus, wanita masih jauh ketinggalan, malah kadar penyertaan tenaga buruh wanita negara juga jauh lebih rendah berbanding negara serantau.

Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2022, Malaysia berada di tangga kelapan daripada 10 negara Asean seperti Laos 74.8 peratus, Kemboja 74.0 peratus, Vietnam (69.6 peratus), Singapura (59.4 peratus) dan Thailand (59 peratus).

Memetik Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penyertaan kaum hawa dalam pekerjaan antaranya melanjutkan galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja sehingga 31 Disember

2027 dan had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak.

"Melihat kepada inisiatif itu, kerajaan menetapkan sasaran penyertaan tenaga kerja wanita dalam pelbagai sektor di negara ini perlu ditingkatkan kepada 60 peratus menjelang tahun ini," katanya.

Program pemerkasaan wanita masih perlu dipertingkatkan walaupun ketika ini kerajaan sudah melakukan transformasi ke arah memperkasa golongan itu.

Pada masa sama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh membantu meningkatkan kesejahteraan wanita melalui program kesedaran perundangan, pengurusan kewangan, e-dagang dan kesihatan mental kerana golongan hawa ini mudah terjebak insiden penipuan.

Ketika ini, kadar guna tenaga wanita di negara berada pada tahap kira-kira 55 peratus dan ia boleh ditingkatkan kepada 60 dengan pelbagai sokongan serta inisiatif oleh kerajaan.

Kerajaan perlu mencari penyelesaian terlebih dahulu isu wanita di tempat kerja, antaranya diskriminasi disebabkan kehamilan, dinafikan peluang naik pangkat, masalah penjagaan ahli keluarga serta upah rendah dan gangguan seksual.

Selain itu, wanita masih berdepan isu dwiperanan, konflik kerja-keluarga, masalah penjagaan anak dan warga emas, kesihatan mental dan lain-lain.

Faktor ini wajar diteliti semua pihak berkepentingan terutama suami, ahli keluarga, majikan dan kerajaan.

Bantuan taska di tempat kerja, waktu kerja anjal atau cuti menjaga ahli keluarga atau anak sakit antara faktor boleh dipertimbangkan majikan jika mahu kakitangan wanita terus berada dalam sektor pekerjaan.

Sasaran 60 peratus tidak mustahil dicapai sekiranya semua pihak memberi sokongan sosial, menghargai kemampuan, mengiktiraf kewibawaan seorang wanita dalam konteks pekerjaan serta tiada diskriminasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 7:02 AM