Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Akibat teruja untuk memperoleh wang segera, suri rumah kerugian kira-kira RM20,000 selepas diperdaya tiga individu, disyaki ahli sindiket penipuan loteri yang berpura-pura meminta bantuannya menunaikan cek kemenangan bernilai RM500,000.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian ketika mangsa berusia 58 tahun pergi membeli barangan keperluan harian di sebuah pasar raya di Masjid Tanah, kira-kira 10 pagi, Sabtu lalu.

Menurutnya, mangsa yang bersendirian kemudiannya didatangi dua wanita dan seorang lelaki berusia 40-an hingga 50-an yang disyaki warga Indonesia berdasarkan loghat percakapan mereka.

Katanya, suspek menawarkan kepada mangsa untuk menunaikan tiket loteri yang memenangi tempat pertama itu kerana kononnya mereka tidak dibenarkan untuk menuntut wang kemenangan disebabkan tidak memiliki kad pengenalan.

"Mangsa yang terpengaruh dengan kata-kata manis suspek kemudiannya mengikut mereka masuk ke kereta untuk ke kedai nombor ramalan terletak kira-kira dua kilometer dari pasar raya itu bagi menuntut wang kemenangan.

"Namun, semasa dalam perjalanan, suspek minta mangsa cagarkan barang kemasnya dengan alasan mangsa tidak tipu mereka setelah tuntut hadiah berkenaan.

"Tanpa curiga mangsa yang dijanjikan akan mendapat RM50,000 daripada wang kemenangan itu akur dan menyerahkan seutas rantai bersama loket emas serta seutas gelang tangan emas kepada suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, sebaik sampai di lokasi kedai nombor ramalan, ketiga-tiga suspek menunggu di dalam kereta dan menyerahkan tiket loteri kepada mangsa untuk ditunaikan di kaunter premis.

"Semasa ingin masuk ke premis, mangsa berpaling melihat suspek dan terkejut mendapati kereta berwarna kelabu gelap yang dinaiki sudah beredar menyebabkan dia tersedar ditipu.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru, kira-kira 2 petang hari sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 9:35 AM