KLOPP (kiri) individu yang membawa Salah menyertai Liverpool. -FOTO AFP
KLOPP (kiri) individu yang membawa Salah menyertai Liverpool. -FOTO AFP
Agensi

London: Mohamed Salah memberi penghormatan kepada Jurgen Klopp di media sosial selepas pengurus itu menamatkan tugasnya di Liverpool selepas perlawanan terakhir musim ini Ahad lalu.

Pengendali Jerman itu menamatkan kariernya sebagai pengendali The Reds dengan kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas Wolverhampton Wanderers di Anfield dan membuat ucapan perpisahan yang penuh emosi.

Penyerang Mesir itu menghabiskan beberapa tahun berada di bawah kendalian Klopp di Liverpool, menyatakan harapannya untuk mereka kembali bekerjasama pada masa hadapan.

Salah, 31, di laman sosial X berkongsi gambar mereka bersama-sama di padang latihan, dan mesej: "Seronok berkongsi semua trofi dan pengalaman itu dengan anda sepanjang tujuh tahun yang lalu.

"Saya ucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan kepada anda dan semoga kita berjumpa lagi."

Salah menyertai Liverpool pada Jun 2017, dua tahun selepas Klopp menjadi pengurus kelab itu dan menjadi salah satu penjaring gol terhebat Liga Perdana.

Bersama-sama, mereka memenangi Liga Juara-Juara pada 2019, kejuaraan Liga Perdana pada 2020, serta lima lagi trofi domestik dan antarabangsa sepanjang mereka bersama di Anfield dengan Klopp boleh dikatakan mampu mendapatkan yang terbaik daripada pemain Mesir itu.

Salah menjaringkan 32 gol pada musim pertamanya, memecahkan rekod gol terbanyak dalam kempen 38 perlawanan dan meledak 211 gol secara keseluruhan di Merseyside, tambahan yang menakjubkan kepada kejayaan The Reds sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Liverpool mengesahkan pengendali Feyenoord, Arne Slot akan menggantikan Klopp dan mengambil alih sebagai ketua jurulatih mulai awal musim depan dengan perjanjian yang dipercayai akan berlangsung sehingga 2027.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 8:28 AM