ARTETA akan pastikan Arsenal bangkit dan terus menekan. -FOTO AFP
ARTETA akan pastikan Arsenal bangkit dan terus menekan. -FOTO AFP
Agensi

London: Mikel Arteta percaya Arsenal akan memenangi Liga Perdana jika mereka "terus menekan" selepas tewas dalam pemburuan kejuaraan kepada Manchester City pada hari terakhir saingan.

Untuk kempen kedua berturut-turut, Arsenal muncul naib juara dan Arteta kini lebih berazam untuk memenanginya musim depan.

Arteta berkata, hanya ada satu cara untuk merampas trofi kejuaraan daripada City.

"Hanya ada satu cara - anda perlu lebih berazam, anda perlu lebih bercita-cita tinggi, anda perlu mempunyai banyak keberanian dan menolak setiap had ke tahap tertinggi yang kami boleh. Itulah langkah seterusnya," katanya.

The Gunners memulakan perlawanan mereka menentang Everton Ahad lalu dan perlu menang, sambil mengharapkan City tewas di tempat sendiri kepada West Ham untuk merebut trofi.

Walaupun Kai Havertz menjaringkan gol kemenangan lewat perlawanan untuk Arsenal meraih tiga mata, pasukan Pep Guardiola juga menang untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana keempat berturut-turut yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Liga Perdana.

"Pertama sekali, saya berbangga dengan semua kakitangan dan pemain," kata Arteta.

"Mereka melakukan kerja yang luar biasa dan mereka memberikan segala-galanya dan setiap apa yang kami boleh lakukan untuk cuba memenangi Liga Perdana ini.

"Malangnya, ia agak terlewat dan kami tidak dapat meraih apa yang kami mahukan. Mereka (City) merampasnya daripada kami. Ini musim kedua.

"Jika kami melakukan apa yang kami perlu lakukan, kami akan menjadi lebih dekat dan pada akhirnya kami akan memenanginya. Bila? Saya tidak tahu, tetapi jika kami terus mencabar dan menjadi begitu dekat, akhirnya ia akan berlaku."

Arteta menyertai kakitangan kejurulatihan Guardiola pada 2016, memenangi lima trofi termasuk dua gelaran Liga Perdana, sebelum mengambil alih tugas di Arsenal pada Disember 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 9:24 AM