AHMAD Faizal (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan atlet negara. FOTO ihsan MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
AHMAD Faizal (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan atlet negara. FOTO ihsan MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, promosi pelaburan dalam sukan menjadi antara agenda utama diberikan penekanan kerajaan.

Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam industri sukan menunjukkan peningkatan dari 5.7 peratus pada 2017 kepada 6.05 peratus pada 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19.

"Kerajaan mengambil serius perkara ini dan sudah mengambil langkah untuk memberikan penekanan kepada industri sukan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

"Ia dilaksanakan menerusi tiga dimensi utama iaitu pembangunan industri sukan, meningkat dan memanfaatkan pelancongan sukan serta transformasi perniagaan sukan universiti.

"Semoga dengan inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan ini, kita secara bersama-sama dengan negara Komanwel dapat membangunkan sukan ke arah yang lebih baik," katanya selepas menghadiri mesyuarat menteri-menteri sukan Komanwel ke-10, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan pasukan judo, boling padang dan ragbi negara di perkampungan Sukan Komanwel di University of Warwick, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, ketua kontinjen negara, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan timbalannya, Monteiro Gerard Clair serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Objektif utama mesyuarat itu adalah untuk memajukan konsensus dan mendapatkan kata sepakat berkaitan dasar di antara negara Komanwel.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, menerusi tema 'mewujudkan sektor sukan inklusif dan berdaya tahan bagi mempertingkatkan sumbangan sektor sukan kepada sasaran pembangunan mapan (SDG)', beberapa isu dan cadangan dibincangkan bagi membangunkan semula sukan berikutan kesan pandemik Covid-19.

"Kita sudah menyatakan menyatakan inisiatif yang diambil kerajaan seiring dengan hasrat SDG, antaranya adalah Pelancaran Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan dengan peruntukan berjumlah RM10 juta.

"Selain itu, penganjuran Liga Esports Para bertujuan menggalakkan penyertaan orang kelainan upaya (OKU) dalam sukan Esports.

"Pelancaran Liga Sukan Malaysia bagi promosi sukan dan gaya hidup sihat serta mengenalpasti bakat baharu dan penyediaan Visi Sukan Negara 2030 bagi memacu pembangunan sukan negara untuk 10 tahun akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 7:39 AM