AHMAD Faizal (duduk tengah) bergambar bersama sebahagian atlet negara di Birmingham 2022. FOTO ihsaN MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
AHMAD Faizal (duduk tengah) bergambar bersama sebahagian atlet negara di Birmingham 2022. FOTO ihsaN MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Kontinjen negara yang menyertai temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 turut terkena tempias isu sekatan kemasukan warga Rusia ke United Kingdom (UK).

Ia selepas dua jurulatih gimrama negara yang juga warga Rusia kini berdepan isu kelulusan visa tertangguh susulan sekatan kemasukan dilaksanakan kerajaan UK itu.

Mengesahkan perkembangan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengurusan kontinjen negara sudah memenuhi semua proses keperluan pendaftaran seperti ditetapkan penganjur.

Malah, katanya, mereka sudah mengemukakan surat rayuan kepada Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagi membantu mempercepatkan kelulusan visa berkenaan.

"Maklum balas yang diterima daripada CGF berhubung status visa bagi kedua-dua jurulatih gimrama negara menyatakan, mereka masih menunggu keputusan kerajaan UK dan pihak Imigresen.

"CGF memaklumkan sekatan ini membabitkan semua warga Rusia yang mewakili negara lain pada temasya Sukan Komanwel kali ini," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pasukan judo, boling padang dan ragbi negara di perkampungan Sukan Komanwel di Universiti Warwick, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, ketua kontinjen negara, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan timbalannya, Monteiro Gerard Clair serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata sekiranya rayuan pengurusan kontinjen negara untuk mendapatkan visa bagi kedua-dua jurulatih gimrama negara dari Rusia itu tidak berjaya, dua jurulatih tempatan akan dihantar menggantikan mereka.

Katanya, Afrita Nasril dan Lim Wen Chean akan diterbangkan ke sini pada Jumaat nanti.

"Kedua-dua jurulatih berkenaan sudah didaftarkan ke dalam sistem kad akreditasi dan akan diarahkan menguruskan pasukan gimrama negara sepanjang temasya berlangsung.

"Pada masa ini, pasukan gimrama negara masih berada di Minsk, Poland untuk menjalani latihan intensif dan menyertai kejohanan Piala Dunia di sana. Mereka dijangka ke Birmingham 2022 pada 29 Julai ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 7:45 AM