ATLET angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat meraih pingat perak bagi kategori 73kg di Birmingham 2022. FOTO ASWADI ALIAS
ATLET angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat meraih pingat perak bagi kategori 73kg di Birmingham 2022. FOTO ASWADI ALIAS
Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Majlis Sukan Negara (MSN) masih tetap membantu sukan angkat berat di negara ini meskipun ia belum lagi dimasukkan kembali dalam program sukan teras.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, ia termasuk menanggung pasukan atau atlet menjalani latihan sepenuh masa dan menyertai kejohanan di luar negara.

Selain itu, katanya, pihaknya turut membantu pembiayaan penganjuran kejohanan peringkat tempatan yang dianjurkan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

"Walaupun sukan angkat berat dikeluarkan dari program sukan teras sebelum ini, ia tidak bermakna kita tidak menyokong atau membantu mereka.

"Malah terdapat peruntukan yang kita salurkan itu tidak jauh bezanya daripada sukan lain dalam sukan teras. Kita pernah membayar denda dikenakan kepada PABM bagi membolehkan atlet negara menyertai kejohanan.

"Selain itu, kita masih membantu membiayai beberapa pusat latihan di beberapa negeri yang dikendalikan bersama majlis sukan negeri masing-masing," katanya.

Pada 31 Julai lalu, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan media merayu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya sukan angkat berat dimasukkan kembali dalam program sukan teras agar pembangunan bakat muda negara dapat giat dilaksanakan di semua peringkat bagi melahirkan lebih ramai lagi badang yang boleh mengharumkan nama negara.

Rayuan beliau itu hadir susulan kecemerlangan dipamerkan skuad angkat berat negara pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 menerusi kejayaan memenangi dua emas dan satu perak.

Pingat emas diperoleh menerusi Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55kg dan Muhamad Aznil Bidin (61kg) manakala perak melalui Muhammad Erry Hidayat bagi kategori 73kg.

Ahmad Shapawi berkata, sukan angkat berat sebelum ini dikeluarkan MSN daripada program sukan teras akibat isu doping yang banyak membabitkan sukan berkenaan sehingga merugikan kerajaan.

Katanya, di sebalik keputusan pihaknya itu masih ada segelintir mereka yang berterusan mengambil bahan terlarang itu bagi meningkatkan prestasi ketika bertanding di peringkat tempatan atau antarabangsa.

"PABM sendiri pernah dihukum oleh persatuan sukan angkat berat antarabangsa susulan kes doping berulang.

"Pada satu peringkat, mereka (PABM) mengambil tindakan sendiri untuk tidak menyertai sebarang pertandingan antarabangsa selama hampir setahun sebagai reaksi menunjukkan penekanan mereka terhadap isu doping ini.

"Kita amat gembira dengan usaha berterusan PABM dalam memerangi doping dalam sukan mereka dan tidak mustahil, angkat berat akan kembali ke program sukan teras nanti.

"Ini semua sebenarnya satu peringatan kepada PABM supaya menjadikan anti doping sebagai keutamaan baik di peringkat negeri atau kebangsaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 8:29 PM