JUSTIN Thomas bersama Trofi Wanamaker selepas memenangi Kejuaraan PGA, Ahad lalu. FOTO AFP
JUSTIN Thomas bersama Trofi Wanamaker selepas memenangi Kejuaraan PGA, Ahad lalu. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Pemain golf Amerika Syarikat (AS), Justin Thomas kembali semula ke lapangan selepas kemenangan tidak dijangka di Kejuaraan PGA di Southern Hills, Ahad lalu.

Pemain dari Texas itu melakukan tee di Colonial Country Club, hari ini, dalam keadaan masih mempercayai cara dia merangkul gelaran utama kedua itu.

"Saya tidak berpeluang untuk melihat liputan penuh kejohanan Ahad lalu, tetapi saya sempat melihat sehingga lubang kesembilan ketika ketinggalan lapan pukulan," kata Thomas.

"Saya ketinggalan lapan pukulan ketika berbaki 10 lubang. Ia sukar dijangka. Jika saya melihat kepada papan markah, saya mungkin tidak terfikir langsung ada peluang untuk menang.

"Ia adalah pengajaran cukup penting bagi saya. Jika anda bermain golf sama ada dalam kejohanan utama atau perlawanan biasa, apa saja boleh berlaku. Saya jenis yang terus berusaha dan ada masanya ia menjadi kenyataan."

Kebangkitan dipamerkan Thomas itu adalah kebangkitan hari terakhir paling hebat dalam sejarah Kejuaraan PGA. Dia menewaskan rakan senegara, Will Zalatoris di play-off tiga lubang selepas pemain Chile, Mito Pereira melakukan kesilapan besar pada lubang ke-72.

Thomas yang muncul pemain nombor satu dunia pada 2018, melonjak ke kedudukan kelima selepas kemenangan pada Ahad lalu dan cukup lega apabila merangkul gelaran kedua PGA selepas kali pertama menang pada 2017.

"Sudah tentu saya amat gembira apabila dapat menjawab bila akan menang gelaran kedua dan bukannya menang sekali yang boleh dianggap sebagai nasib baik," kata Thomas.

"Saya ada perlawanan golf minggu ini dan akan cuba bermain dengan baik sambil berharap ada sesuatu yang boleh diraikan lagi."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 12:00 PM