AFP

NORTON, Amerika Syarikat: Justin Thomas (gambar) merakam lima bawah par 66 pada pusingan akhir sekali gus memenangi kejuaraan kelimanya tahun ini, mengatasi rakan senegara dari Amerika Syarikat, Jordan Spieth dalam sembilan lubang terakhir pada Kejohanan Dell Technologies, awal pagi tadi.

Dua pemain AS itu bertarung hebat hinggalah impian Spieth berkecai di fairway lubang ke-18 apabila pukulan keduanya melayang ke sebelah kanan dan singgah di bunker besar.

Pukulan berikutnya melintasi green ketika dia berakhir dengan bogey six di lubang itu.

Thomas melengkapkan kejohanan kedua dalam playoff Jelajah PGA dengan 17 bawah par 267 keseluruhan bagi kemenangan tiga pukulan yang melonjakkannya ke tangga kedua dalam kedudukan Piala FedEx di belakang Spieth.

“Saya melalui tahun yang hebat, hanya tinggal dua kejohanan untuk ditamatkan,” ujar Thomas.

Kesilapan Spieth di lubang ke-18 membolehkan Thomas, yang berada di kelompok belakang, selesa melakar kemenangan di fairway 18 apabila dia mudah menolak masuk par.

Kegagalan Spieth pada Kejohanan Dell Technologies hadir seminggu selepas dia mensia-siakan pendahuluan lima pukulan menjelang pusingan akhir dan tewas kepada Dustin Johnson pada kejohanan pertama playoff Terbuka Northern Trust.

Spieth, yang mencatat 67, berakhir berseorangan di tangga kedua dengan 14 bawah par 270 manakala pemain Australia, Marc Leishman merakam 70 untuk berada di tangga ketiga, empat pukulan di belakang Thomas.

Pemain Sepanyol, John Rahm (68) dan pemain England, Paul Casey (70) berkongsi tangga keempat dengan 12 bawah par 272.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 11:45 AM