PEMAIN golf AS, Justin Thomas bergambar bersama Trofi Wanamaker selepas menang Kejuaraan PGA menerusi play-off tiga lubang. FOTO AFP
PEMAIN golf AS, Justin Thomas bergambar bersama Trofi Wanamaker selepas menang Kejuaraan PGA menerusi play-off tiga lubang. FOTO AFP
AFP

Tulsa: Justin Thomas menewaskan rakan senegara dari Amerika Syarikat (AS), Will Zalatoris dengan satu pukulan ketika penentuan play-off tiga lubang di Kejuaraan PGA di Southern Hills, semalam, sekali gus menyaksikan gelaran utama keduanya.

Thomas yang juga pemenang PGA pada 2017, bangkit daripada ketinggalan tujuh pukulan untuk mencatatkan kebangkitan terhebat di pusingan terakhir dalam sejarah Kejuaraan PGA.

Tetapi, kemenangan itu dicapai akibat kegagalan di lubang terakhir oleh pemain Chile, Mito Pereira, yang mendahului sepanjang hari sebelum melakukan double bogey pada lubang ke-72 dan terlepas trofi.

"Ia adalah hari yang luar biasa," kata Thomas.

"Pada awal minggu ini, saya ditanya mengenai pendahuluan yang selamat, tetapi saya kata tiada. Tempat ini memang mencabar.

"Tetapi, jika bola pukulan anda jatuh di fairway, anda boleh melakukan birdie dan saya terus bersabar. Saya tidak percaya mampu layak ke play-off."

Thomas melakukan tiga pukulan bawah par 67 di pusingan akhir, semalam dan Zalatoris yang juga naib juara Masters tahun lalu, melakukan 71 pukulan untuk menamatkan 72 lubang di Southern Hills sebelum terikat lima bawah 275.

Zalatoris dan Thomas masing-masing melakukan birdie di par 5 pada lubang ke-13 ketika play-off. Di par 4 di lubang ke-17, Thomas melakukan birdie manakala Zalatoris terlepas peluang melakukan birdie.

Pada lubang ke-18, Zalatoris terlepas melakukan birdie manakala Thomas melakukan par untuk menang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 10:54 AM