KEJAYAAN di Tennessee membolehkan Thomas melonjak ke rangking nombor satu dunia. FOTO AFP
KEJAYAAN di Tennessee membolehkan Thomas melonjak ke rangking nombor satu dunia. FOTO AFP
AFP

JUSTIN Thomas berjaya merampas kedudukan ranking nombor satu dunia selepas mengetepikan penyandang juara, Brooks Koepka untuk muncul juara saingan WGC St. Jude Invitational dengan kelebihan tiga pukulan.

Thomas yang memulakan aksi terakhir dengan mendahului empat pukulan, mencatat lima di bawah par 65 untuk menggagalkan usaha Koepka mengulangi kejayaan di TPC Southwind in Memphis, Tennessee.

"Ia memberi makna yang besar, terutama sekali mengenai perasaan saya selepas merangkul kejayaan ini. Sebelum ini saya bergelut untuk bangkit dari ketinggalan," kata Thomas.

Pemain berusia 27 tahun itu menjadi pemain ketiga paling muda di Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 16 tahun meraih 13 kejayaan, berada di belakang Tiger Woods dan Jack Nicklaus.

Koepka, yang memburu kejayaan kali ketiga berturut-turut di Championship PGA minggu depan di San Francisco, menamatkan saingan dengan double bogey selepas pukulan permulaan di lubang ke-18 masuk ke dalam air.

Ia menyebabkan dia terpaksa berkongsi kedudukan kedua dengan 270 pukulan bersama Daniel Berger, Phil Mickelson dan Tom Lewis.

Thomas, yang juga juara Championship PGA 2017, berjaya melonjak dari kedudukan ketiga memintas Rory Mcilroy dan pemain nombor satu dunia sebelum ini dari Sepanyol, John Rahm.

"Saya sangat bertuah. Adakalanya ia membuatkan saya menjadi tenang. Anda sentiasa rasa bertuah jika berjaya memenangi kejohanan.

"Nasib baik, saya berjaya kekal, sabar dan sentiasa positif," kata Thomas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 3:08 PM