PSM perlu melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin sebanyak AS$15,000 (RM62,779.50) dalam tempoh 72 jam atau selewat-lewatnya pada 3 Mac ini. FOTO Ihsan Persekutuan Sepaktakraw Asia
PSM perlu melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin sebanyak AS$15,000 (RM62,779.50) dalam tempoh 72 jam atau selewat-lewatnya pada 3 Mac ini. FOTO Ihsan Persekutuan Sepaktakraw Asia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) tidak berdepan masalah untuk menerima semula keahlian Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) namun seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini badan induk itu perlu menyelesaikan hutang tertunggak kepada Astaf.

Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpipat menerusi surat balas kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh, PSM perlu melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin sebanyak AS$15,000 (RM62,779.50) dalam tempoh 72 jam atau selewat-lewatnya pada 3 Mac ini.

"Pada pemahaman saya, PSM berminat untuk kembali menjadi ahli Astaf selepas keahlian mereka digugurkan pada 20 Mei tahun lalu.

"Namun mereka gagal untuk membayar balik kepada Astaf denda RM62,779.50 itu bagi menampung kos keseluruhan perbicaraan tatatertib dalam tempoh 14 hari seperti yang maklumkan.

"Jadi sebelum terus ke hadapan, PSM perlulah menyelesaikan baki tertunggak dalam tempoh 72 jam atau sebelum jam 5 petang (waktu Bangkok) 3 Mac ini ," katanya. Boonchai dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihak menerima surat permohonan daripada PSM untuk kembali sebagai ahli Astaf pada 23 Februari lalu.

Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin Astaf menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan badan induk Asia berkuatkuasa serta merta selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasiti Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai 14 Mac 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 8:40 PM