ABIDULLAH berkata bahawa PSM mengambil maklum mengenai perkara itu dan sudah pun menghantar surat balas kepada Astaf. FOTO NSTP
ABIDULLAH berkata bahawa PSM mengambil maklum mengenai perkara itu dan sudah pun menghantar surat balas kepada Astaf. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memohon pengurangan 50 peratus bagi melangsaikan hutang tertunggak antara badan induk itu dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Mei tahun lalu.

PSM memaklumkan bahawa mereka sudah pun menghantar surat balas kepada Astaf untuk memohon pengurangan kos pendengaran panel disiplin sebanyak AS$15,000 (RM62,779.50) yang dikenakan terhadap mereka pada Mei tahun lalu.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, bahawa PSM mengambil maklum mengenai perkara itu dan sudah pun menghantar surat balas kepada Astaf untuk memohon pengurangan kos berkenaan.

"PSM mengambil maklum surat bertarikh 28 Februari 2022 dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Astaf berkaitan pembayaran denda berbanyak AS$15,000 dalam tempoh 72 jam seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan.

"Susulan itu PSM mengeluarkan surat permohonan pengurangan denda sebanyak 50 peratus kepada Astaf pada 2 Mac 2022.

"PSM terus komited untuk bekerjasama dengan menjadi sebahagian daripada ahli gabungan Astaf dalam memperkukuhkan bagi pembangunan sukan sepak takraw di rantau Asia," katanya.

Semalam, Astaf menerusi Setiausaha Agungnya, Boonchai Lorhpipat memaklumkan bersedia mempertimbangkan kemasukan semula PSM sebagai ahli gabungan dengan syarat badan itu melangsaikan hutang tertunggak kepada ASTAF.

Lorhpipat menerusi satu surat dikeluarkan berkata, PSM perlu melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin sebanyak AS$15,000 dalam tempoh 72 jam atau 5 petang (waktu Bangkok) esok.

Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin ASTAF menyingkir PSM sebagai ahli gabungan badan induk itu berkuat kuasa serta merta selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasiti Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai 14 Mac 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 9:49 PM