AHMAD Ismail dihukum 17 tahun oleh Astaf. FOTO Owee Ah Chun
AHMAD Ismail dihukum 17 tahun oleh Astaf. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail terus dihukum di atas tindakannya yang mendiamkan diri daripada menjawab sebarang pertuduhan yang dikenakan kepadanya selain gagal mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

Tindakan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat mendorong Astaf menambah hukuman penggantungan terhadap beliau dari 15 tahun kepada 17 tahun kerana gagal melunaskan kos perbicaraan yang berjumlah AS$25,000 (RM103,625).

Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpirat dalam surat yang dihantar semalam memaklumkan bahawa Ahmad gagal membayar jumlah kos perbicaraan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu 14 hari.

"Masa sudah diberikan sejak 6 Mei lalu. Jadi Astaf memutuskan untuk menjatuhkan tambahan dua tahun lagi penggantungan terhadap Ahmad (tempatan dan antarabangsa).

"Sepanjang tempoh itu, Ahmad dilarang membabitkan diri dalam aktiviti sepak takraw selaku pemain, jurulatih, pegawai di peringkat tempatan dan antarabangsa," kata Boonchai.

Kemelut yang melanda PSM kini semakin meruncing. Selain penggantungan Tok Mat selama 17 tahun, PSM turut ditarik keahliannya oleh Astaf.

Manakala di peringkat tempatan, sebanyak 11 persatuan negeri mengumumkan penarikan diri daripada PSM.

Ahmad sebelum ini dikenakan hukuman penggantungan 15 tahun daripada Astaf oleh Jawatankuasa Disiplin Astaf di atas empat pertuduhan.

Antara pertuduhan adalah melanggar Artikel 5.5 Perlembagaan Astaf, apabila Ahmad menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dengan meminta dua badan berkenaan untuk campur tangan dalam Pemilihan Ahli Majlis Astaf pada 1 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 5:52 PM