Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail terima hukuman berat.
Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail terima hukuman berat.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kini hanya mempunyai tujuh hari lagi untuk mengemukakan rayuan terhadap kesalahan disiplin yang dijatuhkan kepada badan induk itu oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

Malah PSM turut diarahkan membayar kos perbicaraan kepada Astaf berjumlah AS$15,000 (RM62,000) dalam tempoh 14 hari yang juga akan tamat pada 3 Jun ini.

Dalam surat yang ditulis Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpirat semalam, memaklumkan kegagalan untuk membayar denda berhubung kesalahan disiplin dan salah laku berkenaan akan mengundang hukuman lebih berat dijatuhkan kepada PSM.

Bagaimanapun Boonchai berkata, sekiranya PSM bersetuju mengemukakan rayuan, badan induk itu perlu menyertakan sekali bayaran rayuan berjumlah AS$2,000 (RM8,271).

"Rayuan harus dipersetujui oleh Ahli Majlis PSM membabitkan Persatuan Sepaktakraw Negeri-Negeri Malaysia yang sebulat suara menyokong proses berkenaan dan ia perlu ditandatangani oleh Presiden (Datuk Seri Ahmad Ismail) dan Ketua Setiausaha PSM (Datuk Abidullah Salleh) yang ada sekarang.

"Rayuan perlu diajukan kepada Presiden Astaf (Datuk Halim Kader) mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib Astaf sebelum 3 Jun ini pada jam 11.59 malam (waktu Bangkok)," katanya.

Bayaran denda sebanyak RM62,000 dan rayuan RM8,271 dengan jumlah keseluruhan RM70,271 perlu dibuat atas nama Astaf sebelum kes berkenaan didengar oleh jawatankuasa rayuan.

Kes rayuan berkenaan adalah membabitkan hukuman yang dijatuhkan oleh Astaf kepada PSM pada 20 Mei lalu apabila digugurkan daripada menjadi ahli gabungan Astaf berkuat kuasa serta merta kerana didapati bersalah kerana melanggar perjanjian bertulis kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf 14 Mac 2008.

Keputusan itu dicapai selepas berlangsungnya sesi pendengaran dalam talian yang diketuai oleh Pengerusi Panel Pendengaran Tatatertib Astaf, Yogender Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 5:09 PM