BOONCHAI (dua kiri) berkata Istaf memutuskan untuk memecat PSM sebagai ahli gabungan Istaf berkuat kuasa serta-merta. FOTO Istaf Superseries
BOONCHAI (dua kiri) berkata Istaf memutuskan untuk memecat PSM sebagai ahli gabungan Istaf berkuat kuasa serta-merta. FOTO Istaf Superseries
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) semakin terdesak dalam usaha menjernihkan hubungan dengan badan sukan antarabangsa selepas Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) memutuskan untuk menyingkirkan mereka sebagai ahli gabungan badan induk berkenaan berkuatkuasa serta-merta.

Menerusi surat bertarikh 21 Mac 2022 yang dihantar Timbalan Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh, beliau berkata Jawatankuasa Eksekutif Istaf sudah meneliti laporan yang dikemukakan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) yang menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan pada 20 Mei tahun lalu.

Katanya, Jawatankuasa Eksekutif Istaf berpandangan bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail dan PSM jelas melanggar aku janji yang dimeterai pada 14 Mac 2008.

"Ini mengesahkan bahawa Astaf mengesahkan hasil siasatan Jawatankuasa Disiplinnya, dan mengambil keputusan untuk memecat PSM berkuat kuasa pada 20 Mei 2021.

"Untuk rekod, tiada rayuan terhadap keputusan berkenaan diterima walaupun peringatan sudah dihantar kepada Setiausaha Agung PSM.

"Akibatnya, PSM tidak lagi menjadi ahli Astaf, dan hubungan antara Astaf dan PSM ditamatkan.

"Jawatankuasa Eksekutif Istaf sudah menyemak laporan di atas yang dikemukakan oleh Astaf mengenai pemecatan PSM.

"Aku janji yang diberikan kepada Datuk Seri Ahmad Ismail dan PSM bertarikh 14 Mac 2008 seperti yang dilampirkan di bawah ini dibawa secara khusus kepada perhatian Jawatankuasa Eksekutif Istaf.

"Oleh itu, Istaf memutuskan untuk menamatkan keahlian Datuk Seri Ahmad Ismail dan memecat PSM sebagai ahli gabungan Istaf berkuat kuasa serta-merta," tulis Boonchai dalam surat berkenaan.

Dalam surat itu, Boonchai turut menyertakan isi kandungan aku janji ditandatangani pada 14 Mac 2008 yang berbunyi: "Sebagai pertimbangan terhadap resolusi yang diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif seperti yang dinyatakan di atas, kami dengan ini secara tidak boleh ditarik balik dan tanpa syarat mengakui, menerima dan bersetuju untuk mematuhi sepenuhnya aku janji yang diberikan oleh kami dan seperti yang dinyatakan di atas.

"Sekiranya mana-mana pihak (Datuk Ahmad atau PSM) melanggar aku janji ini (atau mana-mana bahagian daripadanya) pada bila-bila masa selepas ini, kami selanjutnya mengakui dan bersetuju bahawa Istaf berhak tanpa syarat untuk mengambil apa-apa dan semua tindakan berkenaan terhadap kami sebagai ia difikirkan munasabah."

Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin Astaf menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah susulan tindakan Ahmad Ismail di atas kapisiti Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.

Susulan kemelut yang melanda PSM, enam bekas ahli gabungan badan induk itu memutuskan untuk menubuhkan entiti baharu dikenali sebagai MSC dan mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), bulan lalu.

Enam ahli gabungan yang menjadi tonggak penubuhan MSC iaitu Persatuan Sepak Takraw Selangor; Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya; Persatuan Sepak Takraw Sarawak; Persatuan Sepak Takraw Perlis; Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah; dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.

MSC yang diterajui Datuk Suhaili Abdul Rahman sudah diterima sebagai ahli gabungan Astaf yang baharu berkuatkuasa 5 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 5:03 PM