SUMALI (tengah) PSM sudah membuat bayaran penuh kepada Astaf berjumlah USD15,000 (RM63,886.25) dalam tempoh yang ditetapkan. FOTO Bernama
SUMALI (tengah) PSM sudah membuat bayaran penuh kepada Astaf berjumlah USD15,000 (RM63,886.25) dalam tempoh yang ditetapkan. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Demi menjernihkan kembali keadaan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) membuat bayaran penuh bagi melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) sebanyak AS$15,000 (RM63,886.25), hari ini.

Pembayaran itu menyaksikan PSM mengikut kemahuan Astaf biarpun tanpa pengurangan 50 peratus seperti yang diingini sebelum ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan dalam satu kenyataan berkata, PSM terpaksa membuat bayaran penuh selepas surat memohon pengurangan bayaran tidak mendapat reaksi balas daripada Astaf.

"PSM memohon pengurangan denda daripada Astaf sebanyak 50 peratus pada 2 Mac 2022 (semalam), tapi sehingga 3 Mac 2022 (hari ini), jam 2 petang, Astaf masih belum memberikan sebarang maklum balas berkenaan permohonan pengurangan berkenaan.

"Jadi mengambil kira tempoh 72 jam yang diberikan oleh Setiausaha Agung Astaf yang akan tamat pada 3 Mac 2022 jam 5 petang, PSM sudah membuat bayaran penuh kepada Astaf berjumlah USD15,000 (RM63,886.25) dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Justeru Sumali berharap dengan bayaran yang dilunaskan itu, Astaf akan mempertimbangkan kelulusan kemasukan semula PSM sebagai ahli gabungan Astaf seperti mana permohonan yang dibuat PSM pada 28 Februari lalu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpipat menerusi surat balas kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, PSM perlu melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin AS$15,000 dalam tempoh 72 jam selewat-lewatnya hari ini.

Astaf katanya, sedia mempertimbangkan kemasukan semula PSM sebagai ahli gabungan dengan syarat melangsaikan bayaran berkenaan selepas badan berkenaan disingkirkan pada Mei tahun lalu.

Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin Astaf menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan badan induk itu berkuat kuasa serta merta selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasiti Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai 14 Mac 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 10:47 PM