FROOME mahu memenangi Tour de France kali kelima. FOTO AFP
FROOME mahu memenangi Tour de France kali kelima. FOTO AFP
AFP

Paris: Chris Froome mengumumkan pemburuannya masih belum berakhir apabila pelumba Britain itu mensasarkan untuk memenangi saingan Tour de France buat kali kelima.

Froome yang sudah memenangi Tour de France sebanyak empat kali sebelum bertukar pasukan dari Ineos kepada Israel Start Up Nation (ISN), mahu menyamai rekod memenangi perlumbaan berprestij itu sebanyak lima kali seperti dilakukan Eddy Merckx.

Bangkit daripada kemalangan ngeri pada Jun 2019, Froome akan berusia 36 tahun apabila siri jelajah itu bermula dan banyak peristiwa dilaluinya sejak kali terakhir memenangi Tour de France pada 2017.

"Usia hanyalah nombor. Saya berasa seperti masih muda dalam sukan berbasikal kerana memulakan karier agak lewat," katanya.

"Pembaharuan dalam aspek pengambilan pemakanan dan sukan sejak beberapa tahun lalu membolehkan seseorang atlet meneruskan karier mereka untuk satu tempoh yang panjang."

Froome berkata, meskipun meninggalkan Ineos satu perjudian besar, kejayaan Tadej Pogacar memenangi Tour de France 2020 bersama pasukan UAE Emirates memberi inspirasi kepadanya.

"Dia mempamerkan aksi menakjubkan dan ia dilakukan bersama pasukan kerdil. Senario itu menunjukkan pada akhirnya ia bergantung kepada kekuatan seorang ketua," katanya.

Froome mengalami kecederaan patah paha dan siku selepas terbabit dengan kemalangan 18 bulan lalu ketika berkayuh dengan kelajuan tinggi.

Sebelum insiden itu, Froome secara terbuka menyatakan keinginannya untuk menyamai rekod lima kemenangan Tour de France yang dilakukan Merckx, Jacques Anquetil, Bernard Hinault dan Miguel Indurain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 11:24 AM