Pelumba pasukan Jumbo, Primoz Roglic meraikan kemenangan selepas melintasi garisan peringkat satu Vuelta a Espana membabitkan jarak 173km. FOTO AFP
Pelumba pasukan Jumbo, Primoz Roglic meraikan kemenangan selepas melintasi garisan peringkat satu Vuelta a Espana membabitkan jarak 173km. FOTO AFP
AFP

Arrate, Sepanyol: Juara bertahan, Primoz Roglic memenangi peringkat satu Vuelta a Espana manakala bekas juara, Chris Froome ketinggalan 11 minit di belakang pelonton.

Roglic yang juga naib juara Tour de France, melepasi kumpulan elit yang berjaya bertahan dalam pendakian 5km terakhir ke Alto de Arrate.

Sementara, Froome, dalam aksi terakhir buat Ineos, ditinggalkan pasukannya ketika mereka memecut pada pendakian terakhir bagi memberi saingan kepada Richard Carapaz yang menduduki tempat kedua.

Pelumba Ireland, Dan Martin daripada Israel Start-Up Nation iaitu pasukan yang akan disertai Froome musim depan, menamatkan saingan di tempat ketiga.

Froome dilihat kehilangan sentuhannya sebelum pendakian terakhir.

"Saya sedikit terperangkap dalam pendakian kedua, saya bermula agak jauh di belakang dan tersekat berhampiran perlanggaran di bawah," kata Froome juara empat kali Tour de France yang mengharungi nahas ngeri 18 bulan lalu.

"Saya sangat gembira untuk berada di sini, gembira untuk kembali berlumba di jelajah utama selepas dua tahun tidak menyertai jelajah utama dan hanya mengambil bahagian dalam perlumbaan hari demi hari dan cuba melakukan sebagai mungkin untuk pasukan," kata pelumba Britain itu.

Roglic tampil dengan gayanya apabila melakukan pecutan lewat pada hujung 500m untuk membuka ruang hanya beberapa saat bagi mencatat kemenangan selesa yang meletakkannya memakai jersi merah sebagai pendahulu.

"Saya sangat gembira - pasukan ini sekali lagi menunjukkan mereka adalah sangat kuat.

"Mereka berfungsi dengan baik sepanjang hari. Kemudian membolehkan saya menang, jadi keseluruhannya ia adalah permulaan yang indah. Saya akan terus cuba menikmatinya untuk hari demi hari." kata Roglic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 10:59 AM