AHMAD Zahid semasa sidang media selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus  di Raia Hotel Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Zahid semasa sidang media selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di Raia Hotel Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Umno menyangkal dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan susulan keputusan tidak

mengisytiharkan kekosongan di enam kerusi Parlimen yang menyokong pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada istilah takut menghadapi kekalahan dalam politik dan parti itu sedia bertanding sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, terpulang kepada mana-mana pihak untuk membawa isu berkenaan ke peringkat seterusnya.

"Bukan kerana itu (takut kalah), kita rasa keenam-enam kerusi ini dulu adalah kerusi Umno dan kalau (diumumkan) kosong pun Umno akan bertanding.

"Dalam politik mana boleh takut (dan) saya melihat pengumuman yang dibuat oleh Tan Sri Johari Abdul Speaker Dewan Rakyat terhadap kedudukan keenam-enam ahli Parlimen yang telah terpecat daripada BERSATU kerana menyokong Perdana Menteri adalah satu keputusan yang dibuat mengikut Perkara 49 dalam Perundangan Malaysia.

"Mungkin ada di kalangan mereka yang akan dicabar mungkin mengemukakan 'evidence'

atau bukti. Itu kita serahkan kepada mana-mana pihak untuk membawa ke mahkamah," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang oleh bekas ahli mereka tidak diisytiharkan kosong kerana Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan.

Muhyiddin berkata, disebabkan itu Kerajaan Perpaduan didakwa sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Anti Lompat Parti, yang diperjuangkan mereka sendiri.

Ketika ditanya adakah keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul itu akan mendorong ahli politik daripada kerajaan untuk berbuat perkara sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yakin tidak ada ahli politik daripada kerajaan akan berpaling tadah pada kerajaan yang sedia ada.

"Pelbagai tafsiran saya bagi tahu tadi…Insya-Allah, ianya tidak akan berlaku keadaan itu… Mengapa perlu menyokong pihak pembangkang walaupun alasan-alasan politik tapi Insya-Allah ini tidak akan berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 2:17 PM