Penjaga gol Jerman Manuel Neuer.
Penjaga gol Jerman Manuel Neuer.
AFP

Herzogenaurach (Jerman): Penjaga gol Jerman, Manuel Neuer mendedahkan bahawa dia akan membuat keputusan mengenai masa depannya selepas Euro 2024.

Penjaga gol berusia 38 tahun itu berkata dia "belum boleh mendedahkan" sama ada ini akan menjadi aksi terakhirnya dalam warna Jerman, sambil menambah "Saya akan memikirkannya selepas kejohanan itu."

Neuer kembali beraksi untuk Bayern Munich pada bulan Oktober selepas hampir setahun tidak beraksi kerana patah kaki sekali gus lilitan kapten terpaksa diberikan kepada pemain Barcelona, Ilkay Gundogan.

Neuer kembali dan dipilih sebagai penjaga gol utama Jerman oleh jurulatih Julian Nagelsmann, walaupun terdapat beberapa kesilapan di peringkat kelab dan antarabangsa menjelang pembukaan Euro 2024 menentang Scotland.

Pemain veteran itu membuat kesilapan dalam perlawanan persahabatan pra-kejohanan Jerman menentang Ukraine dan Greece selain melakukan kesilapan besar untuk Bayern Munich sekali gus menjadi punca tewas separuh akhir Liga Juara-Juara kepada Real Madrid pada bulan Mei lalu.

Walaupun status Neuer seirin pemain hebat Jerman seperti Oliver Kahn dan Sepp Maier adalah terjamin, namun kesilapan itu menyebabkan dia mungkin digantikan penjaga gol lain seperti tonggak Barcelona, Marc-Andre Ter Stegen, yang menunggu peluang terbabit.

Hanya beberapa hari sebelum perlawanan pembukaan kejohanan menentang Scotland, satu tinjauan dari 80,000 pembaca tabloid Jerman Bild mendapati 72 peratus mahu Ter Stegen mengambil alih daripada Neuer.

"Saya tidak membaca apa-apa mengenainya," kata Neuer, sambil menambah "fokus saya adalah pada perlawanan pertama menentang Scotland dan perlawanan yang akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 12:01 AM