PEMAIN pertahanan Jerman, Mats Hummels (kanan) meraikan jaringan Robin Gosens ketika menewaskan Portugal 4-2, Sabtu lalu.
PEMAIN pertahanan Jerman, Mats Hummels (kanan) meraikan jaringan Robin Gosens ketika menewaskan Portugal 4-2, Sabtu lalu.
AFP

Herzogenaurach, Jerman: Mats Hummels, Thomas Mueller dan Ilkay Gundogan tidak berlatih bersama Jerman, hari ini, kerana cedera, dua hari menjelang perlawanan penting menentang Hungary di Euro 2020.

Ketiga-tiganya diturunkan ketika menang 4-2 ke atas Portugal, Sabtu lalu yang memastikan kempen the Die Mannschaft di Kejuaraan Eropah hidup semula.

Bagaimanapun, Hummels dan Mueller berehat kerana cedera lutut manakala Gundogan alami kesakitan betis.

Akhbar harian Jerman, Bild, mendakwa Mueller akan terlepas perlawanan dengan Hungary, Rabu ini, tetapi jurucakap Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) menafikan laporan itu dan menegaskan terlalu awal untuk membuat keputusan.

Bek kanan gantian, Lukas Klostermann yang belum lagi diturunkan di Euro 2020, turut tidak berlatih di kem latihan Jerman di Bavaria, hari ini kerana hamstring.

DFB belum menyatakan sama ada Mueller, Gundogan atau Hummels akan cergas pada perlawanan terakhir Kumpulan F dengan Hungary di Munich.

Jerman kini menduduki tempat kedua kumpulan dan perlu menang untuk mara ke pusingan kalah mati, bagaimanapun seri sudah memadai sekiranya Perancis tidak tewas kepada Portugal di Budapest pada hari sama.

Hungary, kini menduduki tangga tercorot selepas satu mata ketika seri dengan Perancis, Sabtu lalu dan mahukan kemenangan ke atas Jerman untuk mengelakkan tersingkir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:53 PM