SEORANG lelaki dilihat memanjat bumbung stadium ketika aksi 16 terbaik Euro babitkan Jerman dan Denmark. FOTO Agensi
SEORANG lelaki dilihat memanjat bumbung stadium ketika aksi 16 terbaik Euro babitkan Jerman dan Denmark. FOTO Agensi
AFP

Berlin, Jerman: Polis Jerman mengesahkan sudah mengenal pasti individu yang memanjat bumbung stadium ketika aksi babitkan pasukan Jerman menentang Denmark dalam aksi 16 terbaik.

Individu yang melakukan kesalahan itu dilihat berkeliaran di kawasan stadium adalah seorang lelaki berusia 21 tahun dari Osnabrueck di Timur Laut Jerman, kata polis tempatan dalam satu kenyataan.

"Pada masa ini tiada bukti bahawa lelaki itu berniat untuk membahayakan tetamu stadium dengan kelakuannya," kata polis.

Pihak berkuasa menambah, ketika aksi babitkan Jerman dan Denmark itu pihaknya melihat lelaki itu di atas bumbung stadium.

Polis dapat menahan lelaki itu selepas wisel penamat dibunyikan di mana Jerman berjaya membenam Denmark 2-0 sekali gus mara ke suku akhir.

Begitupun aksi terbabit tertangguh pada separuh masa pertama kerana hujan lebat dan kilat yang membahayakan pemain. Pengadil memberhentikan seketika aksi itu sebelum menyambungnya semula.

Menurut akhbar tempatan di Jerman, beg galas yang dibawa oleh penceroboh itu mengandungi peralatan foto dan video.

Difahamkan, tindakan lelaki itu memanjat dan merakam kejadian hanyalah untuk dikongsikan di laman sosial miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 7:23 PM