LAMINE Yamal (kiri ) dan Alvaro Morata meraikan jaringan sendiri pemain Itali Riccardo Calafiori. FOTO AFP
LAMINE Yamal (kiri ) dan Alvaro Morata meraikan jaringan sendiri pemain Itali Riccardo Calafiori. FOTO AFP
AFP

Gelsenkirchen, Jerman: Jurulatih Sepanyol Luis de la Fuente menegaskan pasukannya adalah yang terbaik di Euro 2024 selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika menewaskan juara bertahan Itali 1-0 untuk mara ke peringkat 16 terakhir, awal pagi tadi.

"Saya gembira dan bangga bukan sahaja dengan keputusan menentang lawan yang hebat, juara bertahan Eropah tetapi dengan cara kami mencapai kemenangan," kata De la Fuente kepada wartawan selepas jaringan sendiri Riccardo Calafiori menjadi pemisah dalam aksi Kumpulan B di Gelsenkirchen.

"Kejohanan ini tetap sukar. Anda perlu bekerja keras memenanginya tetapi saya fikir tiada pasukan lebih baik daripada kami. Kami hanya perlu mengekalkan momentum dan bermain seperti ini."

Sepanyol mendominasi perlawanan di Arena AufSchalke dan mampu menang lebih besar dengan percubaan Nico Williams terkena palang pada babak kedua.

Kemenangan bermakna juara tiga kali Eropah itu meraih enam mata daripada dua perlawanan dan memastikan tangga teratas Kumpulan B milik mereka sebelum aksi terakhir menentang Albania.

"Bola sepak bukan sahaja membabitkan fizikal tetapi juga teknik dan taktik. Kami menguasai aspek itu tetapi masih ada perlu diperbaiki kerana setiap perlawanan sangat sukar," kata De la Fuente merujuk persembahan pasukannya.

"Saya fikir aksi malam ini adalah yang terbaik daripada 17 perlawanan saya kendalikan, hampir sempurna," kata jurulatih berusia 62 tahun itu yang menggantikan Luis Enrique selepas Sepanyol tersingkir di peringkat 16 terakhir Piala Dunia 2022 di tangan Maghribi.

"Ya, sangat gembira tetapi misi belum selesai. Kami perlu kekal fokus dan tak boleh mendabik dada," katanya lagi yang mungkin melakukan perubahan dalam skuadnya untuk aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Albania di Duesseldorf, Isnin ini.

Sepanyol akan beraksi di peringkat 16 pada 30 Jun di Cologne menentang pasukan di tangga ketiga daripada peringkat kumpulan.

"Perlawanan terakhir memberikan kami peluang merehatkan beberapa tonggak dan menurunkan beberapa pemain lain di bangku simpanan," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:15 AM