FRUELER (kiri) ketika sesi latihan Switzerland. FOTO AFP
FRUELER (kiri) ketika sesi latihan Switzerland. FOTO AFP
Agensi

Berlin: Pemain tengah Bologna, Remo Freuler, mengakui tidak akan ada ruang untuk emosi ketika Switzerland bersiap sedia menentang Itali pada pusingan 16 terakhir Euro 2024, Sabtu ini.

Azzurri memastikan tempat kedua dalam Kumpulan B selepas permulaan sukar di Kejohanan Eropah, menang tipis 2-1 ke atas Albania sebelum tewas 0-1 kepada Sepanyol dan seri dramatik 1-1 dengan Croatia, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat dan penganalisis.

Switzerland pula kelihatan lebih positif dalam kempen peringkat kumpulan Euro 2024, dengan mengalahkan Hungary 3-1 dalam aksi pembukaan sebelum seri 1-1 berdepan Scotland dan juga 1-1 menentang tuan rumah Jerman.

Ketika ditanya media mengenai aksi menentang Itali, Freuler berkata. "Sudah tentu, ini bukan seperti perlawanan lain kepada saya. Saya membina karier di Itali, juga menemui negara yang ideal untuk menjalani kehidupan bersama keluarga.

"Bagaimanapun, itu semua akan saya ketepikan pada Sabtu ini. Tidak ada ruang untuk emosi," kata Freuler.

Dia turut mengulas mengenai ketiadaan Riccardo Calafiori dalam perlawanan itu nanti. "Saya benar-benar kesal untuk Riccardo. Saya ingin berdepan dengannya di Olympiastadion. Namun perlawanan akan menjadi Switzerland menentang Itali. Bukan Bologna menentang Itali."

"Kami tidak mahu mengubah diri kami. Taktik akan diperhalusi menjelang perlawanan ini. Tetapi sistem dan falsafah tidak akan berubah. Peringkat kumpulan menunjukkan kami berada dalam laluan yang betul," katanya.

Dia turut menyentuh tentang kempen peringkat kumpulan sukar di hadapi Itali.

"Kita bercakap tentang pasukan yang tidak pernah mengalah. Perlawanan menarik dan istimewa menanti kami. Saya meletakkan mereka dalam tiga pasukan kebangsaan teratas dan mereka jelas pasukan pilihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 12:13 PM