TENGKU Zafrul (dua dari kiri) bersama Steven Sim, Nancy dan Dr Zambry (kanan) ketika sesi forum Menteri Perintis Kecemerlangan sempena Minggu Latihan Kebangsaan 2024.-Gambar NSTP/AIZUDDIN SAAD
TENGKU Zafrul (dua dari kiri) bersama Steven Sim, Nancy dan Dr Zambry (kanan) ketika sesi forum Menteri Perintis Kecemerlangan sempena Minggu Latihan Kebangsaan 2024.-Gambar NSTP/AIZUDDIN SAAD
Raja Noraina Raja Rahim

Empat menteri daripada Kerajaan Perpaduan buat pertama kalinya berkongsi pentas bagi bertukar pandangan mengenai dasar dan inisiatif kementerian masing-masing ke arah mewujudkan ekonomi berdaya saing serta inovatif menerusi pendekatan bersepadu terhadap pembangunan bakat sumber manusia.

Mereka ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mereka berkongsi pandangan menerusi program Ministers Pioneering Excellence: Creating A Talent-Driven Economy-Government Policies and Practices yang dianjurkan Kesuma menerusi Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Program berkenaan yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) diadakan bersempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) yang diadakan seluruh negara bermula 24 Jun lalu sehingga Ahad ini.

Tengku Zafrul dalam pertukaran pandangannya membincangkan bagaimana kerajaan boleh menyelaraskan dasar perdagangan secara strategik, inisiatif pengurusan bakat dan strategi pembangunan industri untuk mengoptimumkan modal insan serta memacu pembangunan ekonomi mampan.

Beliau menerangkan mengenai penerokaan kesan perjanjian perdagangan terhadap mobiliti bakat, memanfaatkan pelaburan asing untuk meningkatkan pembangunan bakat dan memupuk kerjasama antara industri serta institusi pendidikan untuk memastikan kesediaan tenaga kerja.

Selain itu, ia boleh mengkaji amalan terbaik dan pendekatan inovatif dari negara yang berjaya menyepadukan bidang dasar ini untuk mengukuhkan ekonomi mereka.

Steven menerusi topik Potensi Ekonomi: Mengintergrasikan Pembangunan Sumber Manusia, Dasar Perdagangan dan pendidikan pula menerangkan dasar serta inisiatif Kesuma ke arah memacu pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, ia merangkumi strategi menyelaras dasar perdagangan dengan keperluan tenaga kerja melalui institusi pendidikan untuk memupuk kemahiran yang relevan dan pelaksanaan program pengurusan bakat profesional mahir.

Menerusi penyelarasan itu, katanya, kerajaan mampu meneroka kerjasama antara agensi kerajaan, perniagaan dan institusi pendidikan dalam memupuk tenaga kerja yang dinamik serta berdaya saing, sekali gus berkemampuan memacu ekonomi mampan.

Sementara itu, Nancy membincangkan peranan penting wanita dalam pengurusan bakat dan pembangunan ekonomi negara menerusi tajuk Pemerkasaan Wanita: Memacu Pertumbuhan Ekonomi Melalui Dasar Inklusif Pengurusan Bakat.

Beliau menekankan strategi mengintegrasikan jantina melalui dasar inklusif ke dalam perdagangan, pengurusan bakat dan rangka kerja pendidikan.

Nancy meneroka lebih lanjut ke dalam inisiatif menarik, membangun dan mengekalkan profesional wanita serta kepentingan menyokong penyertaan wanita dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Katanya, langkah itu dapat menangani dasar inklusif yang menyokong keseimbangan kehidupan kerja, peruntukan penjagaan kanak-kanak dan sokongan keluarga yang kemudian menyumbang kepada ekonomi berdaya saing serta inovatif.

Manakala Zambry menerusi topik Membentuk Tenaga Kerja Masa Depan, Dasar dan Bakat Pengajian Tinggi Strategi Pengurusan untuk Pekerjaan Masa Depan pula menerangkan kerjasama kerajaan dan institusi pendidikan tinggi dalam persediaan berdepan permintaan tenaga kerja.

Beliau berkata, kementeriannya meneroka pendekatan inovatif untuk pembangunan kurikulum, inisiatif pembelajaran sepanjang hayat dan program latihan kemahiran untuk melengkapkan rakyat dengan keperluan industri serta pekerjaan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 6:55 PM