MOHD Azizi tidak akan mempertahankan kerusi DUN Nenggiri jika permohonan dikemuka di mahkamah gagal. FOTO Paya Linda Yahya.
MOHD Azizi tidak akan mempertahankan kerusi DUN Nenggiri jika permohonan dikemuka di mahkamah gagal. FOTO Paya Linda Yahya.
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Mohd Azizi Abu Naim memaklumkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri yang disandangnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos nanti, jika permohonan mencabar keputusan Speaker Dun Kelantan di mahkamah gagal.

Beliau juga mengumumkan tidak akan bertanding sebagai calon Bebas dan bersedia memberi laluan kepada parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Memang ada hasrat mahu bertanding, tapi saya kena berpijak di bumi yang nyata. Sekiranya saya bertanding, saya mesti menggunakan logo.

"Kita tidak yakin sekiranya kita tidak menggunakan (bertanding melalui) parti, maksudnya bertanding atas tiket Bebas.

"(Jadi) Mungkin bagi laluan kepada kawan-kawan (bertanding). Sama ada Umno atau BN, pada saya bukan isu kerusi, tetapi menghormati semangat setia kawan komponen dalam PH-BN," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Mohd Azizi juga menegaskan beliau dianiaya kerusi Dun Nenggiri dikosongkan berhak diadili selepas memfailkan permohonan afidavit bagi menghalang atau membatalkan notis Surat Makluman daripada Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung pengosongan itu.

Katanya, bacaan bagi permohonan afidavit pembatalan notis surat makluman itu akan bermula pada 28 Ogos ini namun peguamnya akan memohon mempercepat tarikh.

"Saya berhak menang dan saya dianiaya. Tidak ada satu bukti pun yang menunjukkan saya terbabit dengan Perkara 49A Akta Anti Lompat Parti.

"Apa jua situasi, apa jua surat menyurat kepada parti, kita melafazkan kesetiaan kepada parti, tidak ada istilah kita keluar sehinggalah ke saat ini.

"Cuma, dalam konteks kita mencabar, sebab itu kita namakan Presiden Parti sebagai defenden kerana kita mahukan keabsahan, apa maksud terhenti. Sebab kita nak nyatakan keikhlasan, kalau nak pecat, tak apa kita reda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 6:56 PM