SKUAD futsal negara meraih pingat perak. FOTO SUKAN IPT
SKUAD futsal negara meraih pingat perak. FOTO SUKAN IPT
Daripada Syafiq Aznan di Surabaya


Surabaya: Skuad futsal negara kempunan untuk meraih pingat emas Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 selepas tumbang 1-4 di tangan tuan rumah, Indonesia pada aksi final, sebentar tadi.

Keputusan di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA) itu menyaksikan skuad bimbingan Addy Shairullyzam gagal membalas dendam atas kekalahan 2-3 di tangan lawan sama pada aksi peringkat kumpulan, sebelum ini.

Bagaimanapun, pingat perak pada edisi di Surabaya-Malang ini setidak-tidaknya memperbaiki pencapaian di Ubon Ratchathani apabila skuad futsal negara pulang tanpa sebarang pingat selepas menamatkan saingan di tangga ketiga.

Indonesia mendahului dengan dua gol hasil jaringan Dewa Rizki (m3) dan Brandyca Piola (m11) sekali gus meletakkan skuad negara dalam tekanan.

Memiliki kelebihan dengan seorang pemain selepas Daffa Azzurri dilayangkan kad merah kerana mengasari Muhammad Bukhari Samsudin pada minit ke-17, peluang itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya sehingga Dewa menambah gol ketiga Indonesia pada minit ke-19.

Skuad negara tampil dengan corak permainan 'power play' selepas rehat untuk mendapatkan gol namun ketangkasan penjaga gol lawan, Muhammaf Albaqir sering mengagalkan peluang Malaysia mendapatkan gol.

Indonesia terus menambah gol keempat menerusi Ramadhan Zidani sebelum Malaysia akhirnya mendapat gol pertama sumbangan Muhammad Syarifuddin Md Akhir pada minit ke-38.

Keputusan 1-4 kekal sehingga permainan berakhir sekali gus membolehkan Indonesia meraih pingat emas acara futsal lelaki di hadapan penyokong sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 6:39 PM