LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Omar Ahmad


Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Johor (JKNJ) masih menunggu laporan kimia sampel ayam goreng yang dipercayai menjadi punca keracunan makanan di kantin sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata, keputusan laporan itu dijangka akan diperoleh dalam masa dua atau tiga hari lagi.

Katanya, Jabatan Kesihatan Batu Pahat juga sudah mengambil langkah susulan dengan memeriksa premis terbabit dan mengambil sampel makanan.

"Kejadian itu pada 27 Jun, Khamis lalu apabila 90 pelajar dan sembilan tenaga pengajar keracunan makanan selepas memakan ayam goreng di kantin sekolah terbabit.

"Daripada 99 individu yang keracunan makanan itu, hanya 11 individu sahaja menerima rawatan pesakit luar di klinik kesihatan atau klinik swasta kerana sakit perut," katanya pada sidang media selepas Kempen Saringan Diabetes oleh Hospital Pakar Regency di sini hari ini.

Ling berkata, kantin sekolah terbabit sudah diarahkan tutup sejak Jumaat lalu sehingga 11 Julai depan bagi memberi laluan siasatan dijalankan.

"Cuma 11 individu sahaja menerima rawatan, selebihnya mungkin mengalami simptom ringan," katanya .

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 7:10 PM