REAKSI Dalic dan pemainnya selepas tamat  perlawanan menentang Itali.
REAKSI Dalic dan pemainnya selepas tamat perlawanan menentang Itali.
AFP

Leipzig, Jerman: Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic berkata, tempoh masa tambahan terlalu lama ketika pasukannya seri 1-1 dengan Itali pada Euro 2024 awal pagi tadi adalah 'tidak masuk akal'.

Croatia yang beraksi di separuh akhir Piala Dunia 2022 itu hampir mara ke pusingan 16 terakhir tetapi jaringan pemain gantian Itali, Mattia Zaccagni, pada minit kelapan masa tambahan menyebabkan mereka kini di ambang penyingkiran.

Dalic mendakwa negara-negara yang lebih besar tidak perlu mengharungi begitu banyak masa tambahan dalam situasi sama.

"Saya tidak tahu sama ada ia lapan minit masa tambahan di penghujung, kami negara kecil dan tiada siapa memberi kami perhatian, jadi kami perlu berdiri untuk diri sendiri.

"Lapan minit tidak masuk akal. Anda tidak boleh mempunyai lapan minit selepas perlawanan itu. Kami mendapat penalti dan saya tidak mahu menjelaskan apa sedang berlaku, tetapi saya fikir Croatia perlu dihormati," kata Dalic.

Croatia menduduki tempat ketiga Kumpulan B di belakang naib juara Itali dan Sepanyol. Mereka kini memerlukan beberapa keputusan berpihak kepada mereka untuk mara ke peringkat buat kali kelima berturut-turut di kejohanan utama

"Ia benar-benar menyakitkan. Ia masih menyakitkan dan akan terus menyakitkan pada hari-hari dan bulan-bulan akan datang.

"Ini bukanlah satu perkara mudah, tetapi apabila kita melihat situasi secara umum, ada kalanya ada hari memihak anda dan ada kalanya tidak.

"Kami meraikan kemenangan bersama beberapa tahun lalu dan kini kami perlu bersatu dalam kekalahan dengan rendah hati," tambah Dalic, yang juga membawa Croatia ke final Piala Dunia 2018 dan final Liga Negara-Negara tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 10:24 AM