SPALLETTI memberi arahan kepada pemainnya ketika menentang Croatia. FOTO AFP
SPALLETTI memberi arahan kepada pemainnya ketika menentang Croatia. FOTO AFP
AFP

Leipzig, Jerman: Jurulatih Itali, Luciano Spalletti membidas kritikan selepas pasukannya seri 1-1 dengan Croatia untuk mara ke pusingan 16 terakhir Euro 2024, awal pagi tadi.

Jaringan pada minit ke-98 daripada pemain sayap Lazio, Mattia Zaccagni, menyelamatkan Itali untuk muncul naib juara Kumpulan B di belakang Sepanyol, meninggalkan Croatia di tempat ketiga yang hampir tersingkir.

Itali meraih kemenangan 2-1 ke atas Albania dalam perlawanan pembukaan mereka dan kemudian dikalahkan Sepanyol dalam kekalahan 1-0.

"Semua orang cuba untuk menyingkirkan kami dari kejohanan ini. Jika saya takut, saya akan melakukan pekerjaan lain, tiada gunanya untuk saya takut.

"Saya tidak mahu terlalu bimbang atau menambah lagi tekanan yang orang lain letakkan di bahu saya.

"Terdapat racun di sekeliling saya, tetapi saya tidak takut malahan saya akan suntik racun itu sendiri dalam diri saya," kata Spalletti.

Spalletti juga mendakwa mungkin ada pemain yang membocorkan maklumat kepada media, susulan berita Itali akan bermain dengan formula 3-5-2 sebelum perlawanan.

"Ini kelemahan mereka yang membocorkan rahsia dan maklumat pasukan. Jika ada orang yang membocorkan maklumat, dia mengecewakan pasukan kebangsaan," katanya.

Itali akan berdepan Switzerland dalam pusingan 16 terakhir di Berlin pada Sabtu ini manakala

Croatia memerlukan beberapa keputusan yang memihak mereka untuk terus mara sebagai salah satu daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 11:06 AM