PENYERANG Perancis, Kylian Mbappe dijangka bangkit pada aksi 16 terbaik. FOTO Agensi
PENYERANG Perancis, Kylian Mbappe dijangka bangkit pada aksi 16 terbaik. FOTO Agensi
Reuters

Paderborn, Jerman: Perancis yakin jentera serangan pasukan itu akan tampil lebih berbisa sebaik pusingan kalah mati bermula, kata pertahanan tengah, William Saliba.

Dalam tiga aksi peringkat kumpulan sebelum ini, Perancis tidak menjaringkan gol dalam permainan terbuka termasuk ketika aksi pemanas badan terakhir menentang Kanada sebelum hadir ke Jerman bagi menyertai saingan Euro.

Dua gol yang diraih di peringkat kumpulan hanyalah gol sendiri pemain Austria dan sepakan penalti ketika mengikat Poland 1-1 yang disempurnakan Kylian Mbappe.

"Memang benar kami tidak menjaringkan banyak gol dalam peringkat kumpulan. Apabila anda tidak menjaringkan banyak gol, anda perlu fokus," kata Saliba pada sidang akhbar.

"Tetapi begitulah keadaannya apabila anda bermain di peringkat tertinggi. Tetapi saya tidak ragu bahawa penyerang akan kembali bangkit pada pusingan 16 nanti.

"Sudah jelas bahawa kami perlu lebih berbahaya dengan 'set piece' kami, terutamanya saya. Saya rasa saya belum menyentuh satu pun, jadi kami boleh melakukan yang lebih baik," katanya.

Begitupun, Perancis dilihat cukup ampuh di bahagian pertahanan apabila hanya bolos sekali dalam tiga aksi, itu pun menerusi sepakan penalti penyerang Poland, Robert Lewandowski.

"Secara peribadi saya gembira apabila kami hanya dibolosi sekali. Dari segi pertahanan, kami dapat mengawal benteng dengan baik dan harap prestasi sama dapat dipamerkan di perlawanan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:54 PM