Agensi

Marseille, Perancis: Pemain sanjungan Poland ketika ini Jakub Blaszczykowski (gambar) memperkatakan mengenai Portugal dan penalti dalam wawancara bersama Euro 2016 serta menjelaskan bagaimana Mats Hummels dikenali sebagai ‘Wazniak’.

Soalan (S): Apa yang anda jangkakan daripada Portugal?

Jawapan (J): Portugal mempunyai ramai pemain individu hebat, itu sudah pasti tapi ia tidak semestinya sesuatu yang bagus memandangkan ini adalah sukan berpasukan. Kepercayaan terhadap pasukan adalah apa yang dimiliki Poland dan itulah asas kekuatan kami.

Kami sedar potensi dimiliki Portugal dan sejak sekian lama mereka pasukan yang bagus. Namun kami juga mempunyai potensi, kami mampu memberi kejutan dan juga mempunyai pemain bertaraf dunia. Tahap kami bukannya rendah.

S: Anda satu-satunya pemain dari skuad Poland yang menewaskan Portugal 2-1 sewaktu kelayakan Euro pada 2006. Apa yang anda ingat?

J: Kami terlalu seronok. Portugal pada masa sama adalah pasukan bagus dengan pemain menakjubkan. Ini adalah langkah pertama kami dalam kelayakan Euro 2008, pusingan akhir pertama kami. Perlawanan itu satu pencapaian besar buat kami, satu detik yang penting. Ia membuat kami yakin pada diri dan seperti yang kita tahu, kami mara sebagai juara kumpulan. Ia satu titik tolak bagi kami.

S: Penalti Poland ke atas Switzerland dalam aksi 16 pasukan terakhir bagaikan dirancang. Adakah anda pernah berlatih?

J: Kami melakukan tiga atau empat sepakan penalti setiap sesi latihan dan latihan itu berbaloi. Sebelum perlawanan menentang Switzerland kami sudah membayangkan senario seperti itu dan bersedia menghadapinya.

S: Bagaimana anda menahan daripada menunjukkan emosi. Ia seolah-olah anda tidak mempunyai suis.

J: Sudah tentu, sesiapa pun boleh bercakap mengenai ketenangan, lebih mudah menyebut daripada melakukannya. Saya tidak berfikir secara negatif, saya sentiasa berfikir secara positif. Saya sentiasa cuba berfikir saya akan melangkah, lakukan tugas saya dan menjaringkan gol. Itu saja.

S: Pertahanan Jerman Mats Hummels, bekas rakan sepasukan Dortmund menghantar Twitter mengenai dirinya yang menonton perlawanan Switzerland degan menyarung jersi Poland, menggunakan hashtag ‘Wazniak’. Apakah maksudnya?

J: Kami menghadapi masalah untuk menjelaskan kepadanya kerana dia banyak cakap, jadi kami menunjukkan kartun Smurf dan Wazniak, Brainy Smurf. Jadi kini dialah Wazniak!

Ia satu sapaan yang bagus. Saya mempunyai hubungan baik dengan Mats, kami bermain bersama sejak bertahun lamanya, kenal baik antara satu sama lain dan berjaya bersama-sama.

S: Semua orang bercakap mengenai 18 gol antarabangsa anda. Apabila anda menjaringkan gol, Poland tidak pernah kalah. Adakah ia sesuatu yang hebat menjadi ayam tambatan pasukan?

J: Saya tidak kisah siapa yang menjaringkan gol. Apa yang saya peduli apalah pasukan mesti menang, mencapai keputusan terbaik. Ia memberikan saya kepuasan tertinggi. Saya akan korbankan diri saya, kadangkala mempertaruhkan diri saya di padang jika ia bermakna kami boleh mempertahankan gol dan menang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 9:55 AM